MB Perlis beri laluan calon lain tanding AJK PAS Pusat

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli menolak bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat sempena Muktamar Tahunan ke-69 pada 20 hingga 22 Oktober ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Menteri Besar (MB) merasakan belum layak bertanding jawatan berkenaan dan memberi ruang kepada pemimpin lain.

“Saya tolak semua (bertanding jawatan AJK PAS Pusat). Ada pencalonan tetapi saya menolak kerana merasakan belum layak,” katanya ketika di temui di sini semalam.

Muktamar tahun ini akan diadakan pemilihan bagi jawatan utama parti itu. Ia diadakan dua tahun sekali.

Mohd Shukri juga berkata, beliau mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan AJK, namun menolak bagi memberi laluan kepada pemimpin lain.

Mengulas mengenai tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS, katanya, jawatan itu sentiasa dibuka untuk pertandingan, namun tidak ada pemimpin lain sedia bertanding.

“Semua jawatan terbuka untuk bertanding tetapi tidak ada yang menawarkan diri khususnya bagi jawatan ‘Top 5’ pada muktamar kali ini,” katanya.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Sanusi Mohamad Nor turut menolak pencalonan untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS.

Beliau sebaliknya akan bertanding untuk AJK PAS Pusat bagi penggal 2023-2025. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -