Doakan kesejahteraan, keselamatan rakyat Palestin

- Advertisement -

TERGAMAM dengan serangan bersepadu mengejut Hamas dan Jihad Islami semalam, akhirnya tentera rejim Zionis Israel bertindak balas selepas Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu mengisytiharkan perang ke atas Hamas.

- Advertisement -

Tentera rejim Zionis Israel melancarkan serangan udara, laut dan darat ke atas kedudukan dan fasiliti kumpulan pejuang Palestin dan Semenanjung Gaza dengan bandar Gaza, Beit Hanoun, Beit Lahiya dan Jabalya diserang hebat termasuk mengebom kediaman pemimpin kanan Hamas di Semenanjung Gaza, Yahya Al-Sinwar.

Serangan ganas tersebut menyebabkan kemusnahan teruk bandar Gaza dengan rumah kediaman, bangunan kerajaan dan kediaman serta menyebabkan kerosakan teruk dan kemusnahan ke atas Menara Sakania, Production Bank dan Menara Watan.

Di samping itu juga serangan tersebut turut mengakibatkan dua buah masjid musnah dan menyebabkan bekalan eletrik terputus di Semenanjung Gaza.

Sehingga kini, angka korban di kalangan warga Palestin telah mencecah 313 orang termasuk 20 kanak-kanak dengan lebih kurang 1,990 lagi cedera. Menurut UNHCR, sekurang-kurangnya 20,000 warga Palestin berlindung di sekolah dan pusat perlindungan kecemasan di sekitar Semenanjung Gaza.

Berikutan daripada itu, kumpulan pejuang Palestin bertindak balas dengan melancarkan serangan roket ke atas bandar-bandar di negara haram Israel seperti Tel Aviv, Asqlan, Sedirot dan penempatan haram Yahudi di Gaza di mana ia menyebabkan kerosakan teruk dan mengakibatkan puluhan pendatang haram Yahudi cedera termasuk yang berada dalam keadaan kritikal.

Sehingga kini, angka kematian di kalangan pendatang haram Yahudi, tentera dan polis rejim Zionis Israel telah meningkat kepada 300 orang dengan 1,600 orang lagi cedera di mana 318 daripadanya berada dalam keadaan kritikal namun angka tersebut dijangka meningkat berikutan dianggarkan lebih kurang 750 orang lagi pendatang haram Yahudi dilaporkan hilang.

Semalam juga anak muda Palestin di Nablus dan Jerusalem mengangkat senjata menyerang kedudukan tentera rejim Zionis Israel dengan kumpulan pejuang Palestin “The Lion Den’s” juga mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan turut serta dalam peperangan ini sedikit masa lagi.

Terkini, pertempuran sengit antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera rejim Zionis Israel masih lagi berlangsung di beberapa buah bandar seperti Sedirot, Asqlan, Yad Mordecai, Ovakim, Kafar Eza, Bairi, Kisofim dan beberapa buah penempatan haram Yahudi di sekitar Gaza dengan kumpulan pejuang Palestin melancarkan serangan dron ke atas kedudukan tentera rejim Zionis Israel.

Hari ini juga, kumpulan Hizbullah turut melancarkan serangan ke atas tiga kedudukan tentera rejim Zionis Israel di wilayah yang dijajah dari Lubnan iaitu kawasan perladangan Sheeba dan Kfarshouba di sempadan utara Lubnan dengan tentera rejim Zionis Israel kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan serangan roket ke atas kedudukan tentera Hizabullah.

Puluhan ribu umat Islam dari beberapa buah negara seperti Kuwait, Yemen, Iraq dan Jordan mengadakan demonstrasi bagi memaparkan solidariti kepada pejuangan rakyat Palestin dengan bangunan-bangunan di Libya dan Iraq semalam menyalakan lampu bendera Palestin sebagai sokongan kepada Palestin.

Penyokong kelab bolasepak Scotland iaitu Celtic pada perlawanan bola sepak semalam turut menyatakan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin. Namun sebagaimana biasa Barat khususnya Amerika Syarikat memaparkan sokongan padu kepada rejim Zionis Israel apabila Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam ucapannya semalam menyokong penuh serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza khususnya kumpulan pejuang Palestin.

Sama-sama kita doakan kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat Palestin. Semoga mereka diberikan kekuatan yang membawa kemenangan dan pembebasan bumi Palestin.

Selamatkan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin. – HARAKAHDAILY 8/10/2023

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

- Advertisement -