Bahaya sewenangnya menuduh orang Islam lain sebagai Khawarij 

- Advertisement -

KHAWARIJ ini khusus untuk mereka yang keluar daripada jemaah yang dipimpin oleh Saidina Ali R.A, kerana tidak berpuas hati dengan pendirian beliau.

Lalu kumpulan yang keluar ini membuat komplot untuk membunuh beberapa orang Sahabat.

Akibatnya Saidina Ali, Abdullah bin Khabbab bin al-Arat dibunuh oleh kumpulan Khawarij ini.

Namun bukan semua kumpulan yang keluar daripada rejim yang berkuasa boleh dilabel Khawarij dengan sewenang-wenangnya.

Rujuk kembali peristiwa sejarah umat Islam, berapa banyak darah orang yang tidak bersalah ditumpahkan semata-mata termakan dengan hasutan jahat memerangi Khawarij.

Sedangkan mereka tidak sepatutnya dibunuh, bahkan penuduh dan pembunuh mereka yang sebenarnya bersalah dan berdosa besar.

Lihatlah kembali apa yang berlaku kepada cucu cicit Rasulullah S.A.W, berapa ramai di antara mereka yang disembelih oleh tentera rejim pemerintahan atas slogan membanteras pemberontak, pengganas dan Khawarij?

Saidina Hussain dan Ahli Bait dalam peristiwa hitam Karbala dibantai secara kejam di zaman raja Umawi Yazid bin Mu’awiyah.

Imam Zaid bin Ali bin Hussain bin Ali bin Abi Thalib, yang diperangi dan dibunuh secara tidak berperi kemanusiaan pada zaman raja Umawi Hisyam bin Abdul Malik.

Begitu juga dengan anaknya yang bernama Yahya bin Zaid.

Imam Nafs Zakiyyah Abu ʿAbdil-LAH Muḥammad bin ʿAbdil-LAH bin al-Ḥasan al-Muthanna bin al-Ḥasan bin Ali bin Abi Thalib yang syahid dibunuh oleh pemerintah di zaman ‘Abbasi Abu Ja’far al-Manshur.

Berapa banyak nama-nama Ahli Bait Rasulillah S.A.W yang syahid dibunuh oleh rejim pemerintahan disenaraikan oleh Abul Faraj al-Asfahani dalam Maqatil Thalibiyyin.

Semua ini berlaku disebabkan oleh propaganda jahat yang menuduh mereka sebagai pemberontak dan pengganas, agar rejim berkuasa dapat menjustifikasikan tindakan ganas mereka menghapuskan sebarang anasir bangkangan demi menstabilkan kedudukan mereka.

Rakyat yang naif pula termakan dengan dakyah  rejim pemerintah, sehingga tiada sedikit pun rasa simpati dan belas kasihan terhadap nasib yang menimpa orang Islam yang teraniaya dan dizalimi, melainkan segelintir yang dirahmati oleh Allah S.W.T. 

Modus operandi yang sama digunakan oleh rejim zalim dalam kalangan lapisan pemerintah umat Islam.

Mereka menuduh pihak lawan sebagai pengganas dan pemberontak untuk mewajarkan tindakan kejam terhadap mereka.

Lihatlah apa yang berlaku terhadap pemimpin Ikhwan Muslimin. Propaganda jahat ini berjaya menghilangkan simpati sehingga ramai umat Islam yang terhasut.

Mengenai tuduhan terhadap posting YB Ustaz Rosli Abdul Jabbar ini, adakah akal kita boleh terima ianya benar-benar ditulis oleh beliau?

Zaman sekarang ini bukannya susah untuk mengedit gambar. Designer amatur pun boleh edit gambar tersebut.

Sekarang ini zaman AI, video pun boleh dibuat deepfake dengan menukar wajah seseorang kepada wajah orang lain.

Kalau propaganda sementah ini pun mereka boleh anggap benar, maka mungkin mereka juga percaya kebenaran video seorang lelaki yang kelihatannya seperti pemimpin Malaysia yang kini menjadi pemimpin tertinggi kerajaan bersama dengan seorang wanita melakukan perbuatan terkutuk!

Apa tujuan mereka beriya-iya menuduh PAS sebagai Khawarij, ekstremis?

Adakah untuk menghalalkan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap pemimpin dan ahli PAS, sebagaimana yang dilakukan oleh rejim kejam terhadap umat Islam?

Bermudah-mudah melabelkan orang lain sebagai Khawarij, ekstremis, takfiri, pengganas juga adalah perbuatan yang jahat dan tidak bertamadun, walaupun mungkin ia dianggap sebagai ‘madani’ oleh sesetengah pihak:

- Advertisement -

إِنَّ ٱلَّذِینَ فَتَنُوا۟ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ ثُمَّ لَمۡ یَتُوبُوا۟ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِیقِ 

“Sesungguhnya orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang lelaki yang beriman dan orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).”

(Al-Burūj: 10)

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN – HARAKAHDAILY 8/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!