Pertahan kemenangan Parlimen Kemaman dalam PRK

- Advertisement -

BAHANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semakin menebar aroma, rakyat bawahan mula bercakap di kedai-kedai kopi, serambi masjid surau, juga merambah ke pelbagai media sosial. Perbincangan seputar PRK Kemaman turut memanaskan bilik mesyuarat, ruang usrah dan kumpulan aplikasi WhatsApp ekoran kenyataan media Setiausaha Agung PAS untuk PAS berdepan dengan PRK Kemaman.

- Advertisement -

Terengganu sebagai jantung hati negeri orang Melayu tetap memicu pesona peminat politik, negeri ini tetap panas seperti kuih pau manis yang baru keluar oven! Terengganu satu satunya negeri sifar pembangkang di dalam Dun, juga tiada kerusi dimenangi oleh PH-BN.

Umno Terengganu boleh dikatakan kesipuan apabila kerusi P.036 Kuala Terengganu yang dimenangi oleh PAS dengan majoriti 47,000 lebih walaupun ramai pengundi luar tidak pulang untuk mengundi. Teringat penulis sebelum PRN baru baru ini, Umno telah menggiatkan kempen menyerang kerajaan PAS Terengganu dengan pelbagai isu yang menjadi boomerang kepada mereka sendiri.

Rakyat Terengganu secara umumnya berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS yang dinakhodai oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Banyak faktor indeks kepuasan rakyat Terengganu terhadap kerajaan PAS yang memerintah sekarang dan juga sesi lepas. Segalanya memungkinkan rakyat akan mengadili keseronokan ini ke dalam peti undi PRK Kemaman dijangka dalam bulan November ini.

Terdapat banyak faktor mengapa pengundi Kemaman akan terus mengundi calon PAS. Pertama, kerajaan Terengganu terus fokus dalam membangunkan ekonomi negeri sehingga rakyat melihat kemajuan negeri. Terengganu mendapat laba dalam tempoh yang panjang daripada sektor minyak dan gas yang kini mula diremehkan oleh kerajaan Pusat. Terengganu dalam tahun 2023 baru menerima sebanyak RM400 juta lebih peruntukan dan ini menodai semangat federalisme.

Terengganu berusaha gigih untuk mempelbagaikan sumber daripada industri pelancongan. Seorang anggota MMK yang lepas dan terlibat dalam potfolio pelancongan menyebut: “semua hotel di bawah kerajaan negeri mencatatkan keuntungan, pelancongan domestik negara ini memperlihatkan Terengganu menjadi sasaran pelancongan. Aset anugerah Tuhan seperti pantai bersih yang memanjang daripada Besut ke Kemaman. Begitu juga Terengganu mempunyai pulau-pulau yang terbaik dalam dunia, menjadi pilihan kepada tetamu luar negara. Terengganu juga menambahbaik prasana pelancongan termasuk Tasik Kenyir, projek terbengkalai zaman Mad Said dibaik pulih, insya-Allah Terengganu akan menjadi tarikan utama pelancongan dalam negara ini”.

Pelancongan Terengganu akan diberdayakan dengan edutourism dan pelancongan warisan atau persejarahan (heritage tourism). Negeri ini lumayan dengan warisan sejarah seperti Makam Tok Ku Paloh, Sayyid Saqaf, Tok Ku Pulau Manis dan ratusan ulama pejuang yang hebat. Antara lokasi lain seperti tapak perlombongan Bukit Besi, makam Sheikh Sharif Muhamad al-Baghdadi, rumah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, kubu Mat Kilau di Pasir Raja, tapak penemuan Batu Bersurat dan puluhan lokasi bersejarah.

Kedua, kerajaan PAS Terengganu sangat fokus dalam menunaikan janji dalam manifesto dan ini kontradik dengan sikap kerajaan PH dan PMX. Mereka sedang menuai kemarahan rakyat dan dimaki berjemaah di medsos. Anak muda warga TikTok mentertawakan ucapan-ucapan PMX sebelum ini, bergentayangan di merata riti alam maya video-video pendek pembohongan pemimpin PH. Kerajaan Madani adalah kerajaan gagal (failure state) yang diterajui oleh pembual paling piawai, cekap bersilat lidah dengan muka tak berkerut. Inflasi makin mencengkam, kos kehidupan makin mencanak, segala janji dicapati.

Ketiga, PAS Terengganu terus melangkah dengan senyuman bergaya di bawah kepimpinan Dato’ Ustaz Haji Husain Awang telah mengumumkan beberapa tawaran menarik kepada rakyat Terengganu untuk berdepan dengan PRN15. Antara empat manifesto yang ditawarkan ialah pemberian pinjaman qardul hasan untuk anak muda membeli motosikal maksimum 4,000 ringgit, membina lorong berkembar sepanjang pantai Terengganu menjelang 2027 dan ini mampu menarik perhatian rakyat kerana akses mereka semakin pelbagai dan banyak pilihan. Penyediaan khairat kematian sebanyak 500 ringgit kepada rakyat yang meninggal dunia. Selain itu PAS Terengganu menawarkan tabung usahawan belia sebanyak RM5 juta setahun.

Sepanjang sesi lepas pemerintahan PAS, landskap sosiobudaya yang semakin membaik, ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan Ilmu Jerteh, Medan Ilmu Hulu Terengganu dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Kerajaan PAS Terengganu tak mengamalkan polisi balas dendam, mengheret politik menghunus permusuhan bukanlah cara pemimpin PAS dan ini menyebabkan rakyat terbanyak melihat keadilan sosial. Daripada anggota legislatif PAS, entiti PAS sehinggalah Pengerusi JPKK telah melaksanakan dasar tidak memilih ‘bendera’ dalam menyalurkan bantuan. Impaknya memang dirasai apabila PRU15, November 2022 menyaksikan PAS menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen di Terengganu dan pada 12 Ogos 2023 pula menyapu bersih 32 kerusi Dun. Berbeza dengan zaman Umno BN memerintah, bantuan kepada kelompok penyokong pembangkang disepikan, bahkan sangat ekstrem pada dekad 80-an sehingga menimbulkan pecah belah dalam masyarakat akibat penindasan dan intimidasi.

Masa berlari pantas, bulan November ini, genta akan dipalu, gerombolan pasukan ‘perang’ PAS/PN akan berpencak dan bermandi keringat, pastilah matlamat utama untuk memastikan Wisma Kemaman terus kekal di bawah bersama PAS selepas PRU tahun lepas BN kalah dengan 27,000 lebih majoriti. 

Kemaman adalah tanah barakah yang menyaksikan ulama besar seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong menyumbang bakti di Limbong Kemaman, bahkan daerah ini menyaksikan kemunculan Sarekat Islam Terengganu yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat menentang sistem penjajah di tanah Sheikh Muhamad Shariff al-Baghdadi, Tok Ku Pulau Manis, Tok Ku Paloh, Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tuan Guru Zainal Abidin sehinggalah ulama kontemporari, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang namanya mendunia. Insya-Allah teguh pertahan Kemaman! – HARAKAHDAILY 4/10/2023

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK BPP Terengganu.

- Advertisement -