Beri penjagaan terbaik kepada anak jururawat ditikam

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, pihaknya mahu waris keluarga memberi penjagaan terbaik kepada dua anak yang ditinggalkan susulan kejadian menikam isteri baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, sungguhpun masih belum mengetahui apa yang berlaku, namun mereka berhak untuk hidup bahagia seperti kanak-kanak lain.

“Semasa ziarah, saya turut berkongsi pesanan kepada waris keluarga agar memberi penjagaan terbaik kepada anak-anak ini.

“Insya-Allah dari pihak kerajaan negeri kita akan perhalusi bentuk bantuan yang mereka perlukan kerana kebajikan anak-anak adalah perkara utama sekarang ini,” katanya dalam sesi Ziarah Kasih Sayang, semalam.

Hadir sama pada sesi Ziarah Kasih Sayang kepada keluarga seorang jururawat yang maut ditikam pada Sabtu lepas itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Faizal Kamarudin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi di Jalan Padang Nyu, Arau itu, dipercayai terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek (suami) berusia 38 tahun dan isterinya, 31.

Suspek seorang pesara tentera manakala mangsa merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang pada masa itu sedang bersedia untuk keluar bekerja.

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal.

Suspek kemudiannya menghantar dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun ke rumah pengasuh dan kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar jam 10 pagi sebelum polis ke tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, media melaporkan bedah siasat mendapati punca kematian jururawat itu disebabkan luka tikaman hingga ke hati dan bahagian dalaman pembuluh darah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Mohd Rodi berkata, bedah siasat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

“Berdasarkan keputusan autopsi yang dibuat di HSB, mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, maut akibat mengalami luka tikaman hingga ke hati serta dalaman pembuluh darah (vena kava) atau ‘stab wounds to the liver and inferior vena cava’.

“Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh hasil proses bedah siasat tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2023

- Advertisement -