Krisis iklim bakal ‘menelan’ makanan kita

- Advertisement -

MESKIPUN India merupakan negara pengeksport beras terbesar di dunia, mereka terpaksa melarang aktiviti eksport beras putih bukan basmati pada Julai lalu gara-gara kenaikan harga makanan domestik, kadar inflasi yang tinggi serta kebimbangan dilanda fenomena El Nino. Langkah ini mengakibatkan bekalan beras global terkesan, termasuk Malaysia.

Sebagai makanan ruji bagi kebanyakan rakyat, penghasilan dan perolehan beras yang mencukupi serta stabil hendaklah dinilai sebagai salah satu elemen terpenting dalam keterjaminan makanan negara kerana kedudukan Malaysia di Asia Tenggara menjadikan kita antara rantau yang paling terdedah dengan impak perubahan iklim.

Dimensi keterjaminan makanan

Takrif keterjaminan makanan menurut World Food Summit pada tahun 1996 ialah “setiap manusia pada sepanjang masa mempunyai akses sosial, ekonomi dan fizikal terhadap makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan zat dan pilihan makanan mereka demi kehidupan yang aktif dan sihat”.

Satu kajian dari Institusi Kajian Ekonomi Taipe ada menggariskan empat komponen yang menjadi tonggak kepada ekosistem keterjaminan makanan iaitu ketersediaan makanan, akses kepada makanan, kestabilan bekalan makanan dan penggunaan makanan.

1. Ketersediaan makanan.

Komponen ketersediaan makanan perlu didahulukan sebelum membicarakan komponen lain. Dengan unjuran penduduk yang bakal meningkat kepada 40.7 juta orang pada tahun 2040, Malaysia perlu menambah keluasan tanah pertanian menjadi 1.5 juta hektar berbanding 817,000 hektar sekarang bagi tujuan tanaman makanan, penternakan dan perikanan. Tambahan pula, kita perlu mempelbagaikan rakan dagang yang boleh membekalkan makanan bagi menyederhana ketidakcukupan bekalan domestik.

2. Akses kepada makanan.

Indikator utama seperti indeks harga pengguna boleh digunakan bagi menilai perubahan harga kumpulan utama barangan dan perkhidmatan termasuk makanan. Untuk bulan Julai 2023, kadar inflasi bagi makanan dan minuman bukan alkohol mereda pada kadar 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus untuk bulan sebelumnya. Kadar inflasi ini hendaklah dikawal termasuk perlu ada langkah menguncupkan bahagian perbelanjaan makanan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agar tidak membebankan rakyat.

3. Kestabilan bekalan makanan.

Rakyat juga perlu mempunyai akses kepada bekalan makanan pada setiap masa. Keadaan cuaca yang semakin tidak menentu boleh memberi kesan terhadap hasil pertanian, justeru infrastruktur seperti sistem pengairan yang baik amat kritikal bagi menampan kesan kemarau panjang mahupun musim tengkujuh.

4. Penggunaan makanan.

Keterjaminan makanan juga bermakna ia mesti diuruskan dengan bersih dan diambil dalam kuantiti zat yang diperlukan. Dalam laporan Global Hunger Index (GHI) bagi tahun 2022, negara kita mencatat skor 12.5 iaitu berada pada tahap kelaparan sederhana. Apabila indeks tersebut dilihat dengan lebih mendalam lagi, kanak-kanak di Malaysia menghadapi peningkatan masalah bantut akibat malnutrisi dan peningkatan kadar penyusutan berat badan.

Ancaman perubahan iklim

Berdasarkan beberapa indikator yang telah disebutkan, isu keterjaminan makanan ini perlu ditangani menerusi pelbagai dimensi sosioekonomi.

Namun kita tidak boleh berhenti setakat itu sahaja kerana krisis iklim yang semakin mengganas memerlukan sinergi antara penggubal dasar, agensi kerajaan dengan kumpulan petani untuk bertindak seiringan. Ancaman perubahan iklim ini sedang memangsakan sektor pertanian dan tahap keterjaminan makanan kita melalui tiga senario; (1) mengubah persekitaran yang ideal untuk tanaman tumbuh; (2) merosotkan taraf hidup para petani; dan (3) menyusutkan kualiti produk tani.

Peningkatan karbon dioksida (CO2) dalam atmosfera kita tidak pernah berjaya diperlahankan sejak era Revolusi Industri. Kesan peningkatan ini bersama-sama gas rumah hijau lain telah memerangkap lebih banyak haba sekali gus meningkatkan suhu global dan mengakibatkan kemarau berterusan dan peningkatan paras air laut.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pada Mei lalu mencatatkan kerugian lebih RM2.7 juta kerana hasil padi di Kelantan menurun hampir 30 peratus akibat musim kemarau. Peningkatan paras air laut juga berpotensi mengancam kawasan lembah delta yang menjadi lokasi pilihan penanaman padi seperti di Delta Mekong, Vietnam.

Umum mengetahui rata-rata petani ini datang daripada keluarga berpendapatan rendah, justeru pemberian bantuan tunai dan input pertanian bukanlah kaedah yang mampan untuk menjamin taraf hidup yang selesa. Kesannya, generasi baharu akan bermigrasi ke kawasan urban untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan meninggalkan legasi pertanian ibu bapa mereka.

Menurut laporan khas yang diterbitkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), peningkatan CO2 telah menyebabkan penurunan kandungan zat penting dalam beras seperti protein, zink dan vitamin B.

Tebus dosa silam

Kita tidak dapat berdalih lagi bahawa sudah terlalu banyak dosa antropogenik yang telah menodai keharmonian alam sekitar sekali gus meresahkan sektor agromakanan.

Negara memerlukan cita-cita nasional bagi menggerakkan fokus, jentera dan kepakaran ke arah keterjaminan makanan demi generasi mendatang. Sekurang-kurangnya kerajaan pada hari ini boleh menyambut Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 sebagai komitmen yang setara seperti New Industrial Master Plan 2030.

Jika diberi pilihan industri yang perlu diberikan suntikan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih agresif, jawapannya ialah industri pertanian. Antara inovasi yang perlu diberikan perhatian adalah seperti benih yang mampu berdaya tahan dalam cuaca ekstrem dan automasi pengurusan ladang.

Pemain industri turut boleh meneroka amalan ‘regenerative agriculture’ yang menumpukan praktis pertanian yang lestari berdasarkan beberapa prinsip seperti pemeliharaan kesuburan tanah, kepelbagaian biodiversiti dan penyerapan karbon. Langkah ini dapat menjamin kelangsungan jangka hayat kawasan pertanian yang semakin tenat.

Pandemik yang lalu sudah mengajar kita apa yang akan berlaku jika sumber makanan menjadi terhad. Jangan biarkan krisis iklim pula menelan makanan kita!

AHMAD SHAUQI JOHARA
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 2/10/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -