PERAK telah membaca kenyataan dari Yayasan Perak berkaitan pengedaran kotak makanan yang telah dilaksanakan sejak PAS masih berada dalam kerajaan sebelum ini. PAS Perak sangat jelas berkaitan matlamat dan tujuan pengedaran kotak makanan tersebut kerana PAS terlibat dalam merangka program itu.
Menurut Yayasan Perak, pemberian kotak makanan tidak lagi diberikan melalui ADUN sebaliknya melalui NGO. Tindakan ini diambil kerana dikatakan adanya beberapa Pusat ADUN menampal lambang parti dan menukar kotak tersebut.
PAS Perak kesal dengan tindakan ini. Dari gambar yang tular di media massa, dikesan memang terdapat pusat khidmat ADUN yang menampal gambar lain di kotak yang diedarkan Yayasan Perak terutama dari DAP. Apakah ianya benar atau tidak, memerlukan siasatan lanjut.
Berkaitan dengan menukar kotak atau membuat bungkusan lain, sepatutnya ia juga diteliti kerana berkemungkinan ia bukan dari sumbangan Yayasan Perak malah peruntukan ADUN sendiri untuk kepentingan rakyat kawasan masing-masing.
Jika dakwaan Yayasan itu benar, sewajarnya pusat ADUN terbabit diberikan peringatan atau tindakan dan bukannya menghukum kesemua ADUN terutama dari pembangkang. Menghukum secara umum satu kesalahan terpencil adalah bersifat tidak adil.
PAS Perak berpendirian agar bekalan kotak makanan terus diedarkan melalui ADUN sebagaimana amalan sebelum ini atas beberapa sebab:
1. Pusat khidmat ADUN adalah tempat rakyat susah mengadu. Bukan NGO atau pihak lain.
2. Kawasan yang diwakili oleh PAS adalah majoriti Melayu Muslim yang wajar dibantu jika benar kerajaan hari ini tidak menganaktirikan dan menghukum pengundi Melayu Muslim.
3. PAS melihat pemberian melalui NGO adalah bersifat muslihat politik kerana tiada kriteria jelas dan terdedah kepada manipulasi.
4. Pemberian melalui NGO lebih terdedah kepada pelbagai masalah kerana NGO tidak mempunyai tanggungjawab langsung kepada rakyat berbanding Pusat ADUN yang menjadi tempat rujukan masalah rakyat.
Sehubungan itu, PAS Perak berharap agar pihak kerajaan tidak bermain politik dalam isu kepentingan makanan dan bantuan kepada rakyat. Ia tanggungjawab bersama mengikut pilihan rakyat yang telah membuat keputusan dalam PRU15 yang lalu.
PAS Perak berharap agar Menteri Besar dan Yayasan Perak boleh mengekalkan semua peruntukan dan bantuan melalui ADUN tanpa tunduk kepada tekanan mana mana parti dalam Pakatan Harapan. Semoga pilihan rakyat Perak dihormati oleh parti yang memerintah.
YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
16 Rabiul Awwal 1445 H / 02 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 2/10/2023
Kotak makanan: Rakyat sedang susah, jangan main politik
- Advertisement -