‘Saya jemput dia mai Langkawi, pakai seluar pendek’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan terdapat tegahan memakai seluar pendek kepada pelancong bukan Islam ke Langkawi.

- Advertisement -

“Saya pun hairan bagaimana isu itu boleh timbul, sedangkan tegahan itu tidak berlaku.

“Ramai pelancong yang datang ke Langkawi pakai seluar pendek. Selagi agama mereka membenarkan, pakailah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Cuma, ujar beliau, pihaknya tidak membenarkan para pelancong memakai pakaian mencolok mata atau tidak berpakaian kerana itu bukan budaya kita (masyarakat timur).

Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing, mendakwa beberapa pegawai kerajaan menganggu pelancong di Langkawi berkenaan etika pakaian dan pengambilan alkohol.

“Tak apa, saya jemput dia (menteri pelancongan), mai Langkawi, pakai seluar pendek. Dia bukan Islam, tak ada siapa larang kalau dia nak pakai seluar pendek,” ujarnya lagi.

Berkenaan pengambilan alkohol (minuman keras) jelasnya, terdapat tempat berlesen disediakan kepada pelancong bukan Islam untuk meminum arak.

Sunggupun begitu, beliau yakin pelancong luar negara yang datang ke Langkawi bukan berhasrat untuk minum arak sebaliknya menikmati keindahan alam semula jadi dan budaya di pulau pelancongan itu.

“Mereka boleh minum di negara mereka. Mai Langkawi bukan nak minum arak, mereka nak nikmati alam sekitar, geopark, budaya dan lain-lain di Langkawi ini.

“Jadi Menteri Pelancongan jangan buat isu yang tak ada faedah dan merugikan serta menjejaskan pelancongan.

“Mai tengok sendiri, jangan ikut orang habaq (beritahu) sahaja,” ujar beliau.

Pada perkembangan yang sama, Sanusi juga memaklumkan Kedah tidak hanya memberi perhatian kepada pelancongan di Langkawi sebaliknya di tanah besar yang banyak tempat menarik yang boleh dilawati. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -