ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan menarik diri daripada dicalonkan sebagai Naib Presiden PAS pada pemilihan sempena muktamar tahunan PAS Pusat Oktober ini.
Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau tidak layak untuk bertanding jawatan terbabit, sebaliknya mengambil keputusan bertanding peringkat ahli jawatan kuasa PAS Pusat sahaja.
“Setakat dicalonkan memang boleh tetapi untuk memimpin parti (PAS) ada ciri-ciri lain yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman, hari ini.
Oleh itu kata beliau untuk menjadi pemimpin parti juga perlu berdasarkan keupayaan dan kemahiran.
“Di Kedah, saya boleh jadi Menteri Besar tetapi pesuruhjaya (PJ) orang lain. Dato’ Ahmad Yahaya jadi PJ pimpin parti dan dia ada ciri-ciri itu. Saya tak ada ciri-ciri berkenaan,” katanya.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menarik diri daripada pencalonan Naib Presiden bagi kali kedua.
“Dua kali dah tolak. Lepas ini depa (mereka) tak calonkan dah,” tambahnya.
Beliau juga berkata, PAS tidak melarang mana-mana ahli untuk bertanding pada mana-mana jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden.
Namun, ujarnya setiap kali pemilihan, tiada sesiapa yang mahu bertanding untuk merebut jawatan.
“Dalam PAS bebas tetapi tak ada yang nak bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.
“PAS bukan macam parti satu lagi yang buat ketetapan jawatan presiden dan timbalan tidak boleh dipertandingkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023