‘Kita doakan semoga arwah bahagia di sana’

- Advertisement -

BENTONG: “Bersabarlah makcik dengan ujian ini, kita doakan semoga arwah bahagia di sana.”

- Advertisement -

Begitulah kata Noratiqah Abu Bakar, isteri calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai ketika menziarahi warga emas Rafeah Jusoh di Felda Sungai Kemahal, Pelangai semalam.

“Dialah yang menjaga saya ketika saya sakit, tetapi rupanya dia yang pergi dulu sebelum saya,” kata Rafeah dengan nada sayu kepada Noratiqah.

Almarhum Abd Zuhri Mohd Ghani anak kepada Rafeah telah ditemui meninggal dunia di kebun pisangnya akibat serangan jantung.

Almarhum dan anak-anak tinggal di rumah ibunya setelah bapanya meninggal dunia sembilan bulan yang lepas.

Noratiqah telah menziarahi keluarga itu bersama-sama dengan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang turun berkempen di DUN Pelangai.

Aktiviti harian muslimat adalah menyantuni penduduk-penduduk Pelangai, mengadakan bacaan Yasin, munajat akifi, tazkirah di Unit Daerah Mengundi setiap hari serta menghadiri undangan penduduk seperti majlis kenduri dan sebagainya.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan undi awal pada 3 Oktober manakala hari pengundian 7 Oktober. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -