Pelangai: Calon PN paling awal tiba di pusat penamaan calon

- Advertisement -

BENTONG: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Cikgu Kasim Samat paling awal tiba di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, jam 8.00 pagi tadi.

- Advertisement -

Sebelum itu, para penyokong PERIKATAN NASIONAL berkumpul di rumah bekas Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Abdul Hamid Bahatim sebelum bergerak ke pusat penamaan calon itu yang berjarak kira-kira 150 meter.

Antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan dan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, Ketua DHPP Pusat, Senator N. Balasubramaniam, Pengerusi PN Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah serta Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi ini dan semua calon mempunyai masa sehingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15 lalu, Johari mendapat 7,308 undi, Kasim Samat (3,260 undi), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH – 2,031) dan Isa Ahmad (PEJUANG – 65). – HARAKAHDAILY 23/9/2023

- Advertisement -