Siapakah sebenarnya yang Khawarij?

- Advertisement -

SEBENARNYA tidak relevan kalau mengaitkan Khawarij itu semata-mata sebagai pembangkang. Definisi sedemikian sangat bermasalah apatah lagi dalam praktis politik demokrasi hari ini, kerana ia akan menafikan ruang semak dan imbang yang memang telah diperuntukkan haknya.

Berpegang dengan kefahaman yang literal seumpama itu, menjerumuskan seseorang untuk dipergunakan oleh golongan sekularis sebagai alat menentang Islamis. Apatah lagi memborong sejarah puak Khawarij yang mengeksploit ayat-ayat al-Quran yang menyuruh kembali kepada kitab Allah.

Lalu sejarah itu digunakan secara senteng untuk menuduh kononnya Islamis sebagai Khawarij. Sedangkan ayat-ayat sedemikian penting bagi membatalkan ideologi sekularisme yang bersarang di dalam politik. Malah ternyata antara realiti hari ini dan sejarah Fitnah Kubra di zaman konflik para Sahabat terdahulu, banyak bezanya.

Yang pasti ketika itu tiada penglibatan sekularis mahupun liberalis. Sebaliknya konflik ketika itu membabitkan sesama orang Islam dan musuh dalam selimut yang giat mengadu domba.

Al-Syahrastani memaksudkan Khawarij itu kepada golongan penentang kepimpinan para Sahabat, Khulafa Rasyidin dan Tabi’in, selari dengan sifat mereka sebagai pemimpin yang berada di landasan yang hak lagi adil. Sebahagian Salaf pula menganggap secara umum sesiapa yang menuruti selain dari ajaran Islam, cenderung menjadi Khawarij.

Tipikal golongan Khawarij adalah, mereka suka mengeksploit ayat-ayat al-Quran dan tidak mengambil sunnah sebagai pedoman. Ciri yang selalu terkait dengan mereka adalah boros mengkafirkan orang Islam. Ini termasuklah seperti yang ditegaskan oleh Ibnu Umar bahawa mereka gemar mengambil ayat-ayat al-Quran yang konteksnya ke atas orang-orang kafir, kemudian dikenakan ke atas orang-orang Islam.

Tohmahan sebagai Khawarij, sering dilemparkan ke atas Islamis. Barangkali Hasan al-Banna telah awal-awal menghidu fitnah itu, lalu dalam Usul 20 yang menjadi dokumen utama pentarbiyahan telah menjelaskan akan semua hal tersebut. Di dalamnya ada perbahasan berkenaan kedudukan nas dalam agama dan syarat-syarat membuat pendalilan yang sah.

Secara tidak langsung telah menyinggung sikap Khawarij yang boros mengeksploit dalil. Yang paling menjawab isu ini adalah usul terakhir, yang menjelaskan hukum mengkafirkan orang Islam dan had yang perlu dijaga supaya kekal sederhana terhadap persoalan iman-kufur.

Maka dari dokumen seumpama itu, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa dasar pemikiran yang dipegang oleh golongan Islamis amat berlawanan dengan doktrin Khawarij. Bahkan mungkin sikap pihak yang giat melemparkan tuduhan kononnya Islamis sebagai Khawarij, lebih dekat dengan doktrin yang dimomokkan itu.

Apabila kita menelusuri Hadis-hadis berkenaan Khawarij dan perbandingan peristiwa Fitnah Kubra yang memunculkan puak itu, bolehlah dirumuskan sifat-sifat utama mereka. Antaranya Khawarij suka eksploit ayat-ayat al-Quran dengan pendalilan yang salah. Kelihatan kuat dan semangat beribadat, tetapi jahil. Gemar mengada-adakan perkara baharu dalam agama. Tidak sabar, cenderung menjadikan darah Muslimin sebagai solusi atau jalan pintas. Dalam konflik, puak Khawarij terdiri dari pihak yang membunuh, bukan yang terbunuh. Sikap mereka suka melampau-lampau dalam permusuhan.

Jika dibandingkan, sifat-sifat tersebut sukar dipadankan dengan Islamis pada hari ini secara sah. Tohmahan sedemikian hanya bertaraf propaganda Islamofobia yang bertujuan membina persepsi sahaja. Apatah lagi yang menuduh itu terdiri dari golongan sekularis, liberalis atau yang memiliki kecenderungan seumpamanya.

Teringat jawapan Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH), kalau Islamis itu Khawarij, apakah mereka yang menuduh itu layak disifatkan seperti Saidina Ali?

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
20 September 2023 – HARAKAHDAILY 20/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -