Polis sita 34 motosikal dalam Op Samseng jalanan

Foto daripada Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.
- Advertisement -

BALIK PULAU: Polis menyita 34 motosikal dipercayai milik geng ‘mat rempit’ dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah Barat Daya di sini awal pagi tadi.

- Advertisement -

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam operasi bermula 12.30 tengah malam dan tamat kira-kira empat jam kemudian itu, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 65 notis saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Pihak polis menjalankan operasi sepadu bersempena dengan Op Samseng Jalanan dan dalam operasi itu, sebanyak 34 buah motosikal disita kerana pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 64(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain membendung samseng jalanan yang melibatkan ‘mat rempit’, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan operasi terbabit dijalankan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ‘mat rempit’ melakukan aksi berbahaya dan dalam masa sama mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah.

Operasi itu akan diteruskan pada setiap minggu bagi mencegah gejala ‘mat rempit’ atau samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -