Industri E&E bakal terkesan impak kelembapan ekonomi global

Mohd Zaidi Md Zabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelembapan ekonomi China dijangka memberi kesan kepada sektor ekonomi global, termasuk Malaysia yang mempunyai jumlah dagangan yang agak besar dengan negara tersebut terutama di dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).

Pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Mohd Zaidi Md Zabri, kelembapan perkembangan ekonomi China yang dilihat perlahan mutakhir ini  bakal memberi kesan kepada Malaysia, memandangkan China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia bagi 14 tahun berturut-turut.

- Advertisement -

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE) menegaskan, kesan tersebut tidak hanya tertumpu kepada Malaysia sahaja, malah ia turut memberi kesan kepada ekonomi negara di seluruh dunia.

“Meskipun perkembangan ekonomi China yang menyederhana, jumlah dagangan atau eksport Malaysia ke China telah mencecah RM210.62 bilion pada tahun lepas,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Melihat kepada situasi ekonomi global yang kian meruncing, Dr Zaidi berkata, antara sektor utama yang terkesan adalah sektor E&E (Elektrik dan Elektronik), yang mana segmen ini meliputi majoriti daripada eksport keseluruhan negara.

“Sektor utama yang memberi kesan yang besar kepada negara terutama sekali adalah E&E. Ini kerana sektor ini merupakan sektor terbesar sekali iaitu pada kadar 84.5 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Sebagai contoh, pembuatan litar eletronik bersepadu, semikonduktor dan komputer,” jelasnya.

Mengenai jangkaan China sebagai pemacu ekonomi global yang dilihat semakin pudar, beliau percaya negara itu masih lagi akan kekal sebagai prospek yang akan memacu ekonomi global pada tahun ini. 

“Ini berikutan pembukaan semula sempadan sejak awal tahun lalu dilihat membuka peluang ke arah itu namun pada kadar yang sedikit rendah berbanding kadar sasaran awal.

“Sehubungan itu, Malaysia boleh mengambil langkah proaktif hasil pengajaran daripada situasi ekonomi global ketika ini dengan menumpu dan mengukuhkan kerjasama strategik dengan negara-negara di rantau ASEAN bagi memastikan ekonomi kekal stabil,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

- Advertisement -