Ekonomi: Model vs behavioural

- Advertisement -

BARU-baru ini, viral satu cerita (dengan gambar-gambar) pasal seorang pekerja Food Panda.

Banyak orang bising sebab road block, polis dan JPJ dah tangkap, sita motor bagai. Dulu tak macam ni. Penguasa kena bertimbang rasa.

Ada juga yang sokong, kata, “Dah langgar peraturan, menghadap lah!”, “Alah, cukai jalan dan insurans murah je.”

Saya rumuskan keadaan macam ini:

Pemikiran rasional:
1) Simpan sikit duit untuk cukai jalan atau lesen atau insurans.
2)Jangan langgar peraturan.

Tak rasional:
Belanja duit untuk keperluan asas terlebih dulu, kalau ada duit lebih baru beli insurans. Kalau tak ada duit lebih, tangguhkan dulu.

Dalam kes rider Food Panda yang motornya disita (dan banyak orang lain), mereka tidak bertindak secara rasional.

Persoalan ialah: Adakah kita perlu bertindak secara rasional? Atau tak bertindak secara rasional?

Secara intuitive, tentulah bertindak secara rasional lebih baik.

Tapi, dalam kes tadi dan banyak isu lain dalam kehidupan, isu jatuh dalam ekonomi atau dasar berkaitan ekonomi. Sesiapa yang nak memahami isu tadi daripada segi ekonomi, adakah kita nak anggap orang tadi rasional atau tidak rasional? 

Ada dua cara:

Pertama, kita anggap rider Food Panda dan sesiapa saja dalam isu ekonomi, bertindak secara rasional. Apabila menganggap semua orang bertindak secara rasional, maka analisa atau kerja memahami kita menjadi amat mudah. Kita buat satu model ekonomi, dengan menganggap orang akan bertindak dalam satu corak yang linear kerana mereka bertindak secara rasional. Melalui model, kita dapat lukis graf, carta, angka yang cantik, warna-warni dan menarik. 

Macam satu pelan perniagaan. Kita mencipta model ekonomi. Pemikiran macam ini juga dipanggil reductionist berdasarkan perkataan orang putih ‘reduce’ bermaksud ‘mengurangkan’. Kerana benda yang asalnya rumit telah dikurangkan menjadi sesuatu yang senang faham dengan membuang fakta-fakta yang benar kerana ia menyusahkan untuk faham.

Pada zaman sekarang dan akan menjadi perkara utama 10 tahun daripada sekarang ialah behavioural economics atau memahami ekonomi berdasarkan ‘tindak-tanduk’. Ini kerana dalam dunia sebenar, adalah rumit kerana orang tidak bertindak secara rasional. Saya menggunakan kaedah behavioural economics.

Tapi kalau ada seseorang cuba berhujah dengan saya dengan model, saya akan terus mengaku kalah. Tak guna behavioural economics berlawan dengan model. Sebab model cantik, warna-warni, senang difahami lagi meyakinkan. Behavioural economics pula rumit. Justeru, lawan model ekonomi tak guna. Lebih baik saya makan ‘pop corn’ dan bantai teruk-teruk kalau model itu gagal kelak!

Berbalik kepada isu polis dan JPJ menyita tanpa budi bicara. Ini berkaitan dengan satu cabang Behavioural economics dipanggil blame theory. Polis dan JPJ dalam satu organisasi besar. Mereka yang bekerja dalam organisasi besar bertindak berdasarkan blame theory. Mereka akan bertindak supaya mereka tidak dipersalahkan. Mereka elak risiko. Justeru, apabila kita buat dasar ekonomi dan berharap kepada pegawai tinggi kerajaan untuk beri idea, mereka akan cari cara untuk senangkan kerja mereka saja (supaya tak disalahkan).

Di kalangan pengguna atau orang perseorangan, mereka pula bertindak berdasarkan regret theory, satu lagi cabang besar behavioural economics. Mereka akan bertindak supaya penyesalan dapat diminimakan.

Pelabur atau peniaga pula selalunya bertindak berdasarkan prospect theory, satu lagi cabang besar behavioural economics. Masa depan ialah tak pasti dan terpaksa diputuskan dengan kebarangkalian atau kemungkinan. Ini ialah prospect theory.

Satu lagi cabang besar ialah power theory iaitu harga dan apa saja perkembangan dalam ekonomi, mesti dinilai daripada siapa yang ada kuasa untuk mengurangkan atau menaikkan. Kartel, misalnya, kawal harga barang kerana ia ada kuasa.

Satu lagi cabang besar ialah choice theory. Dasar kerajaan misalnya mesti dipilih oleh rakyat terbanyak, jika rakyat tak suka, dasar atau kerajaan yang buat dasar itu dijatuhkan.

Apabila menteri atau kerajaan umumkan satu-satu dasar pun ada behavioural theory. Misalnya, menteri kalau nak umumkan cukai, dia selalunya tak cakap cukai ini untuk apa. Dia hanya cakap pasal cukai saja, tapi kurang cakap pasal cukai itu akan guna untuk apa kerana dia pun tak pasti. Begitu juga wartawan surat khabar ada tindak-tanduk tertentu, misalnya wartawan akan memfokus tajuk kepada cukai, bukan cukai diguna untuk apa. Hasil daripada semua ini, rakyat akan bertindak balas negatif kepada cukai-cukai baru.

Kesimpulannya, behavioural economics mengkaji kebenaran tetapi model ekonomi pula model yang membuang sifat-sifat benar kerana kebenaran itu rumit dan susah nak difahami.

Kalau 10 tahun lepas, tak banyak orang yang tak perbaharui cukai jalan dan insurans. Sekarang, banyak yang tak perbaharui cukai jalan dan insurans. Kalau kita memahami melalui model ekonomi, kita anggap semua orang kena berfikir rasional iaitu mesti beli insurans. Tapi behavioural economics kata dalam dunia sebenar, atas sebab tertentu, orang tak beli insurans. Ini tidak rasional tapi kita mesti memahaminya.

Model atau sebenar? Pilih mana? Tepuk dada, tanya selera. Nak mengajar pun, semua dah ada otak, ada pengalaman. Anda, kita semua dah tua bangka!

HEZRI SARDI – HARAKAHDAILY 14/9/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0UCegzpGdUuRZ9p7WmTTMLoi1ePJbMY5pqzACFp22QPXJu4NXB2bZutCLqNXWqgeSl&id=100003684976986&mibextid=Nif5oz

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -