Sikap ‘abang besar’ PH punca Muda tarik sokongan

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan campuran yang dijuarai DAP tidak dapat menafikan lagi wujud sikap ‘abang besar’ dalam komponen Pakatan Harapan (PH) sehingga Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menarik sokongan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari berkata, perkembangan yang berlaku sekarang jelas wujud abang besar yang mahu semua pengikut PH menurut kehendak mereka.

“Berdasar kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Muda menarik sokongan kerana kerajaan sekarang menggugurkan 47 kes pertuduhan rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada Harakahdaily.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar pada kenyataan di media sosialnya semalam menjelaskan Muda ingin fokus sebagai kuasa ketiga di blok pembangkang.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilapor berkata, Syed Saddiq memenangi kerusi di Muar kerana mendapat sokongan pengundi PH.

“Pengundi Muar yang mengundi Syed Saddiq untuk kestabilan politik dan menunjukkan keyakinan mereka terhadap kerajaan,” katanya semalam.

Kamal yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krau berkata, kenyataan pemimpin DAP terbabit seolah-olahnya umpama ugutan terhadap ahli-ahli parlimen sekiranya tidak mengikut kehendak mereka.

Menurutnya juga adalah menjadi hak Syed Saddiq menarik sokongan kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan campuran yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrhaim.

“Pertama sekali menarik sokongan daripada kerajaan adalah keputusan Muda. Mereka berhak membuat keputusan sendiri.

“Syed Saddiq bukan keluar parti sebaliknya menarik sokongan terhadap kerajaan campuran dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

- Advertisement -