WASHINGTON: Wanita pertama Amerika Syarikat, Jill Biden telah diuji positif untuk Covid-19 hanya beberapa hari sebelum suaminya, Presiden Joe Biden, yang disahkan negatif virus itu, dijangka pergi ke sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di India.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih pada Isnin (4 Sept), waktu tempatan, isteri Biden, 72, yang gejalanya disifatkan sebagai ringan, kali terakhir menghidap Covid-19 pada Ogos tahun lalu; sementara Biden yang kini berusia 80 tahun, kali terakhir diuji positif pada Julai 2022.
“Petang ini (Isnin, 4 Sept waktu AS), Wanita Pertama (Jill Biden) disahkan positif Covid-19,” kata pengarah komunikasinya, Elizabeth Alexander, dalam satu kenyataan, lapor AFP.
“Beliau akan tinggal di rumah mereka di Pantai Rehoboth, Delaware,” tambahnya yang mengesahkan Biden terbang pulang seorang diri dari Delaware pada petang Isnin.
Tambah kenyataan Rumah Putih, susulan ujian positif Wanita Pertama untuk Covid-19, Presiden Biden telah menjalani ujian Covid-19 petang ini.
“Presiden kemudian didapati negatif. Beliau akan menjalani ujian Covid-19 secara berterusan bagi memantau simptom tersebut,” ujar kenyataan itu.
Namun, Rumah Putih tidak segera menjawab permintaan pihak media untuk mengulas sama ada perjalanan Biden ke luar negara berkemungkinan terjejas.
Bagaimanapun, jadual minggu hadapan rasmi Biden, dikeluarkan sejurus selepas pengumuman diagnosis isterinya itu, menunjukkan beliau akan terbang ke New Delhi pada hari Khamis (7 Sept) untuk menghadiri sidang kemuncak G20 sebelum dijadualkan terbang ke Hanoi pada Ahad.
Biden bertanding untuk pemilihan semula Presiden pada 2024 dalam kempen di mana persoalan mengenai umurnya telah muncul sebagai isu utama bagi pengundi.
Beliau adalah Presiden tertua AS untuk mendapatkan penggal kedua, dan beberapa ahli Republikan berkata Biden sudah terlalu tua untuk diberikan peluang menjawat jawatan tersebut selama empat tahun lagi di Rumah Putih; namun sekutu Biden menyangkal dengan mengatakan beliau kekal cergas untuk berkhidmat sebagai Presiden negara itu. – HARAKAHDAILY 5/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!