Pengerusi Assabiqun terharu ahli turun berkempen PRK

- Advertisement -

MUAR: Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed menzahirkan rasa terharu dengan komitmen anggotanya di negeri ini yang turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

- Advertisement -

Menurutnya, ini memberi tanda bahawa PERIKATAN NASIONAL bakal beroleh kemenangan dalam dua PRK yang berlangsung pada 9 September ini.

Malah, beliau turut dimaklumkan bahawa Sidang Assabiqun Johor turut menghantar pasukan bagi membantu negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya dengan pengalaman dan ilmu yang ada, maka tuan-tuan sebenarnya terkehadapan untuk membantu ke mana-mana sahaja pilihan raya yang diadakan.

“Yang terbaru saya dapat tahu bahawa Sidang Assabiqun PAS Johor yang dipimpin oleh Ustaz Atan Gombang telah turun ke negeri yang kita negeri Johor bantu, iaitu Negeri Sembilan yang berjiran dengan kita,” ujar beliau.

Katanya, bantuan yang disumbangkan itu telah membuahkan hasil dengan Negeri Sembilan yang dahulunya tidak memenangi apa-apa kerusi, kini berjaya memenangi lima kerusi DUN.

Dr Mahfodz berkata demikian semasa berucap merasmikan program sambutan Hari Assabiqun PAS Johor 2.0 yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, anggota Assabiqun yang terdiri daripada golongan warga emas yang tidak mempunyai kepentingan peribadi seperti mahu menjadi calon pilihan raya, menjadikan pergerakan mereka dalam penuh keikhlasan.

“Mudah-mudahan kerja-kerja kita di dalam PAS ini akan mendapat keredaan Allah SWT kerana matlamat dan niat kita berada dalam PAS ini seperti mana yang disebut dalam Fasal Kelima (Perlembagaan PAS) iaitu untuk mewujudkan dalam negara ini sebuah masyarakat dan negara yang terlaksana di dalamnya hukum-hakam Islam menuju keredaan Allah SWT.

“Jadi kepada Pesuruhjaya PAS Johor harap dapat percaya kepada Assabiqun-Assabiqat. Kita memang tidak ada apa-apa kepentingan. Kita tidak minta jadi calon bagi parlimen atas negeri untuk masa-masa akan datang,” ujarnya.

Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin sementara mantan Naib Presiden PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok hadirsebagai penampilan khas menyampaikan syarahan pengkisahan sejarah PAS Negeri Johor.

Dalam majlis itu turut diumumkan tokoh Assabiqun dan Assabiqat Negeri Johor bagi tahun 2023.

Tokoh Assabiqun Johor dianugerahkan kepada Nasir Ahmad, 75, yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Ledang, manakala tokoh Assabiqat Johor pula dianugerahkan kepada Datin Norain Abdul Wahid, 78, yang merupakan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pagoh dan pengasas dan Guru Besar PASTI Al Muhammadi. – HARAKAHDAILY 2/9/2023

- Advertisement -