Kemerdekaan pimpinan membawa kemerdekaan sejati

- Advertisement -

KEMERDEKAAN Malaysia bergantung kepada kemerdekaan kepemimpinan Melayu dan kekuatan Melayu Islam yang semestinya harus bekerjasama dengan semua bangsa dan penganut agama lain di negara ini tapi, tak bermaksud perlu berada di bawah telunjuk mereka.

Jika kita gagal memimpin organisasi di peringkat ini secara utuh, kita akan gagal memimpin secara hakiki, organisasi atau parti lain yang lebih besar. Bahkan, lebih mudah termakan dengan pujuk rayu dan tekanan daripada organisasi lain sehingga melahirkan pemimpin yang mabuk Inggeris, mabuk Perancis, atau mabuk Barat.

Serba-serbi yang datang dari Barat dianggap pengukur kemajuan dan ketamadunan. Undang-undangnya dianggap maha insani, bahkan seninya pun dikira murni. 

Sikap kebergantungan kepada pihak lain seperti DAP contohnya lama-kelamaan dikhuatiri akan menghilangkan jati diri bangsa dan sikap kebergantungan ini akan menghilangkan perasaan malu, akhlak dan keagamaan.

Jadi di sini, persoalannya, bagaimanakah pemimpin yang di bawah pengaruh kuasa lain mampu membebaskan diri dan rakyat di bawahnya serta pemikiran daripada kemusykilan terhadap Allah S.W.T dan sifat-sifat jahiliyah?

Sedangkan seorang Muslim yang merdeka adalah seorang Muslim yang bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah S.W.T.

Terlalu banyak unsur ‘kotor’ yang dimasukkan dalam usaha mengekalkan kemerdekaan ini. Dengan kata lain, unsur hedonisma mendominasi segenap ruang yang ada sehingga menghilangkan makna kemerdekaan itu sendiri. 

Seandainya pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu tahu bahawa perjuangan kemerdekaan mereka itu hanya akan menghasilkan golongan yang sebegini, pasti sahaja mereka berasa sangat kecewa.

Tidak ketinggalan juga penghinaan demi penghinaan terhadap Islam yang diterima kebelakangan ini. Daripada satu isu kepada isu yang lain. Jika kemerdekaan menghalalkan penghinaan, pencacian serta perlekehan terhadap agama Islam maka apakah gunanya kemerdekaan itu? Lebih sedih lagi adalah cara kita mengendalikan penghinaan itu. Sikap bertolak ansur keterlaluan akan hanya memakan diri sendiri. Sikap itu akhirnya akan memusnahkan erti kemerdekaan bagi seorang Muslim.

Mereka yang menanam kebencian serta melakukan penghinaan boleh dianggap sebahagian golongan fasiq, iaitu golongan yang ‘keluar daripada jalan ketaatan kepada Allah SWT.’ Umat Islam sendiri diberi ingatan untuk berhati-hati dengan cerita-cerita yang dibawa golongan fasiq (Surah al-Hujurat, 6). 

Memang tidak mudah untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan ini, walaupun ekonomi tumbuh pesat dan suasana politik kononnya stabil, kerana dua faktor ini boleh disalahguna oleh para pemimpin yang tidak merdeka aklinya lalu menggubal dan melaksanakan dasar-dasar yang pada akhirnya membawa keuntungan terbesar pada diri, keluarga dan sejumlah besar penyokong setianya.

Kesimpulannya, kegagalan di peringkat asas ini akan menimbulkan kegagalan di peringkat sosial dan ekonomi. Dasar-dasar yang baik akan disalah tafsir dan disalah gunakan .

Kekurangan keadilan, peningkatan rasuah dan dan penyalahgunaan kuasa, kerapuhan kestabilan sosial dan ekonomi akan menimbulkan keadaan di mana kemerdekaan geografi dan politik juga akan hilang. Nauzubillah.

NOR QASEDAH NORDIN
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 1/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -