Hak pengampunan adalah ketetapan Allah

FIRMAN Allah SWT:

Advertisement

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِي ٱلۡقَتۡلَىۖ ٱلۡحُرُّ بِٱلۡحُرِّ وَٱلۡعَبۡدُ بِٱلۡعَبۡدِ وَٱلۡأُنثَىٰ بِٱلۡأُنثَىٰۚ فَمَنۡ عُفِيَ لَهُۥ مِنۡ أَخِيهِ شَيۡءٞ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيۡهِ بِإِحۡسَٰنٖۗ ذَٰلِكَ تَخۡفِيفٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَرَحۡمَةٞۗ فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٞ ١٧٨ وَلَكُمۡ فِي ٱلۡقِصَاصِ حَيَوٰةٞ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٧٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka, sesiapa yang mendapat suatu permaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Oleh yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat. Sesiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya seksa yang sangat pedih. (178) Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa. (179)” [Surah al-Baqarah: 178-179]

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۗ وَمَن قُتِلَ مَظۡلُومٗا فَقَدۡ جَعَلۡنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلۡطَٰنٗا فَلَا يُسۡرِف فِّي ٱلۡقَتۡلِۖ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورٗا ٣٣﴾

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya, dia ialah orang yang mendapat pertolongan.” [Surah al-Isra’: 33]

Ayat-ayat di atas menyatakan bahawa hak pengampunan dalam kesalahan jenayah adalah kepunyaan keluarga mangsa yang disebutkan dengan wali (keluarga terdekat), bukan urusan orang yang lain.

Perkara ini juga dihuraikan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW dan para ulama yang muktabar. Ketetapan Allah yang diwajibkan sehingga tidak boleh berijtihad dan menjadi ijmak para ulama semua mazhab dalam Islam, apabila dinaskan dalam al-Quran dan huraian hadis yang mutawatir.

Pihak kerajaan yang setinggi-tinggi kedudukannya tiada hak untuk memberikan pengampunan, termasuk raja-raja atau ketua negara atau lembaga yang dibentuk. Perkara ini hanya terdapat dalam hukuman qisas yang berkait dengan hak manusia.  

Adapun hukuman hudud yang berkait dengan hak Allah yang ditetapkan secara nas juga,  tiada pengampunan setelah dijatuhkan hukuman oleh pihak kehakiman dengan syarat-syaratnya yang sempurna. Rasulullah SAW bersikap murka, apabila ada pihak yang meminta Usamah bin Zaid RA merayu kepada Rasulullah SAW supaya membebaskan seorang bangsawan yang telah dijatuhkan hukuman. Sabdanya:

‌أَتَشْفَعُ ‌فِي ‌حَدٍّ ‌مِنْ ‌حُدُودِ ‌اللَّهِ، ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَايْمُ اللَّهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.

“Adakah kamu meminta syafaat (pengampunan) dalam hukum hudud yang telah ditetapkan oleh Allah?” Kemudian Rasulullah SAW bangun menyampaikan khutbah (ucapan kepada umum) dengan bersabda, “Sesungguhnya, dibinasakan umat pada zaman dahulu daripada kamu; apabila seorang bangsawan mencuri, maka dia dibebaskan; dan apabila seorang yang lemah mencuri, maka dia dijatuhkan hukuman. Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad (anak kesayanganku) mencuri, nescaya aku jatuhkan hukuman agar dipotong tangannya.” [Muttafaq ‘Alayh: al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3475 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, No. 1688, daripada ‘Aisyah]

Allah SWT memberi amaran yang keras terhadap sesiapa sahaja atau mana-mana pihak yang mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh-Nya. Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١﴾

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka itu telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Syura: 21]

Kita telah ditimpa suatu bencana pada zaman penjajahan dahulu disebabkan oleh campur tangannya dalam urusan kehidupan beragama kita, sehingga merosakkan masyarakat dan negara.

Merebaknya kejahilan sehingga ada yang berani menghina agama Allah yang dianuti. Namun, hukumnya yang dijunjung mulia menjadi bukti keimanan kita kepada keadilan Allah dan kebijaksanaan-Nya dalam segala perkara, termasuklah hukum syariat-Nya.

Selain itu, kita juga menghadapi bala bencana dengan merebaknya jenayah yang menimpa negara Barat yang menolak Islam dan memfitnahnya dengan Islamofobia. Bahkan, berlakunya jenayah dalam kalangan mereka, melibatkan pembunuhan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang kelainan upaya, sehingga runtuhnya institusi keluarga dan masyarakat.

Firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Saya telah mengemukakan kaedah hukum syarak ini kepada DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin semasa pemerintahan PAS di Terengganu pada tahun 1999-2004.

Setelah mendengar penjelasan daripada pihak kami, Tuanku terus melaksanakannya dalam suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Terengganu Darul Iman yang dipengerusikan oleh Baginda, dalam  satu kes pembunuhan seorang wanita.

Baginda telah membuat suatu perubahan dengan terus menghubungi walinya (keluarga mangsa) bagi mendapatkan izin pengampunan mengikut hukum Islam.

Begitulah hakikat keadilan undang-undang Islam yang digeruni oleh pihak penjajah, termasuklah dalam perkara pengampunan Hukum Jenayah Qisas yang jauh daripada anggapan orang yang buta al-Quran, dan perlu difahami dengan dalil dan nas, bukannya perbualan di kedai kopi.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Safar 1445 / 1 September 2023 – HARAKAHDAILY 1/9/2023