Kemerdekaan bukan sekadar pengkisahan semula kisah silam

- Advertisement -

KUBANG PASU: Kedah mampu menempa kemajuan yang hebat kerana negeri itu terkenal sebagai negeri maju sejak dahulu lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bermula zaman Kedah Tua, negeri itu diiktiraf sebagai tamadun yang tertua di Asia Tenggara.

- Advertisement -

Malah, katanya sejarawan mengatakan tamadun Kedah lebih tua daripada tamadun Rom kuno.

“Bukti arkeologi menunjukkan Tamadun Kedah Tua bermula seawal 788 tahun Sebelum Masihi atau lebih 700 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa Alaihissalam dan bertahan selama 2,400 tahun.

“Malah, hasil bumi di era Kedah Tua sebagai pengeluar besi bermutu tinggi yang dinamakan ‘qalai’.

“Galai diekspot ke serata dunia untuk pembuatan senjata menggunakan teknologi nano,” katanya pada sambutan Malam Ambang Merdeka di Taman Tasik Darulaman, malam tadi.

Menurutnya juga kemerdekaan yang diraikan saban tahun perlu difahami dalam erti kata sebenar dan bukan sekadar retorik pengkisahan semula kisah silam.

“Saban tahun kita meraikan sambutan pada 31 Ogos, namun pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri apakah makna kemerdekaan yang sebenarnya,” soal beliau.

Sebaliknya tambahnya erti kemerdekaan sebenar membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda di samping mengenang pengorbanan perwira terdahulu yang berjuang bersabung nyawa menentang penjajah.

Kata beliau, walaupun bersabung nyawa menentang penjajahan, perkara paling penting kesedaran untuk membina jati diri sebagai pewaris yang sentiasa berjuang mempertahankan keutuhan bangsa dan tanah air tercinta.

Kemeriahan sambutan Malam Ambang Merdeka di Taman Tasik Darulaman.

Sanusi turut mengingatkan empat aspek teras pembinaan bangsa di Malaysia, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bangsa.

Beliau berkata, prinsip serta teras itu perlu ada untuk memastikan jati diri sentiasa dipegang teguh bagi mempertahankan kemerdekaan.

“Rakyat Kedah mewarisi perjuangan yang hebat daripada generasi dahulu yang dicintai demi kedaulatan negara walaupun nyawa menjadi galang ganti.

“Inilah yang menjadi iltizam saya untuk mengajak semua warga Kedah untuk bersama-sama bersatu hati dan tekad mengembalikan semula kegemilangan negeri kita menjadi ‘The Greater Kedah’.

“Apa juga cabaran dan halangan untuk kita memperkasakan negeri ini harus dirempuh dan ditewaskan. Jangan biarkan kemajuan negeri ini disekat dan dihalang oleh pihak yang berkepentingan menjarah hak kita,” katanya penuh semangat.

Sanusi yang juga Adun Jeneri turut mengingatkan hadirin agar usaha yang dilakukan perlulah seiring dengan kepatuhan dan taat setia kepada Tuanku Sultan Kedah selaku raja yang memerintah negeri ini.

Dalam ucapan itu, Sanusi tidak lupa mengembali nostalgia kehebatan pahlawan dan pejuang Kedah mempertahankan negeri itu dari serangan Siam dan British. – HARAKAHDAILY 31/8/2023

- Advertisement -