Dasar alam sekitar tuntut peranan ahli politik

- Advertisement -

ANTARA stigma yang sinonim dengan pejuang alam sekitar ataupun ‘environmentalist’ ialah mereka berfahaman anti-pembangunan dan hanya prihatin dengan kesejahteraan alam. Bahkan, ada juga yang menganggap para pencinta alam sebagai ‘jurucakap’ pokok dan binatang yang menjaga alam semata-mata. Namun maksud sebenar pejuang alam sekitar tidak terbatas terhadap ruang lingkup itu. Ia mencakupi individu berpendidikan tinggi, pegawai pemerintah, bahkan yang terpenting ialah ahli politik. Ini kerana merekalah yang memberi hala tuju dasar dan polisi untuk pembangunan kelestarian alam sekitar.

Melihat kepada persidangan Parlimen semasa, tidak ramai daripada ahli politik yang boleh membahaskan isu alam sekitar, apatah lagi menjadikannya isu utama politik tanah air. Mengambil contoh ketika Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 diusulkan, perdebatan di Parlimen seputar isu tersebut tidak melahirkan banyak kontroversi, kecuali pada aspek pelaksanaan dan pemberian konsesi kepada syarikat-syarikat yang kononnya dianggap tidak transparen. Sebaliknya isu yang sebenarnya menjadi teras kepada kelestarian alam sekitar tidak mendapatkan penekanan yang memadai dan tampak tenggelam dalam semangat meneruskan dasar yang lebih mengedepankan aspek pembangunan.

Malahan, usaha melestarikan alam sekitar seperti pengawalan pencemaran sungai masih menggunakan mekanisme dan modus operandi yang lama. Akta dan enakmen berkaitan alam sekitar rata-ratanya dirangka pada awal penubuhan Malaysia dan tiada pindaan terhadap akta tersebut. Sebelum ini, kita menyaksikan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meminda Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 yang bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pindaan RUU tersebut berjaya meningkatkan penalti terhadap mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan. 

Usaha-usaha penggubalan dan pindaan akta sebegini merupakan satu langkah pertama bagi menentukan hala tuju dasar alam sekitar Malaysia. Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan dan praktis kepada akta-akta tersebut. Pelaksanaan akta yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan sepatutnya mengetepikan pendekatan serpihan (sektoral) yang hanya menjalankan tugas skop agensi sendiri sahaja, sebaliknya perlu mengambil pendekatan berorientasi hasil (result-driven) yang mengambil kepentingan alam sekitar berskala penuh.

Menerusi pembentukan Kabinet pasca PRU-15, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah menggabungkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KETSA). Matlamat daripada penggabungan kementerian ini adalah bagi merangka dasar yang melibatkan alam sekitar secara menyeluruh, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Setakat ini NRECC hanya mengumumkan bahawa kerajaan akan membangunkan Dasar Mineral Negara 3.0 dan Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE). Kalau dilihat, kedua-duanya adalah dasar dan polisi yang melibatkan KETSA sahaja.

NRECC dilihat seolah-olah tidak mampu mengawal selia dua kementerian yang mempunyai bidang tugas yang besar ini. Penggabungan dua kementerian ini sebenarnya bukanlah amalan negara-negara maju. Contohnya, negara Sweden yang terkenal dengan kelestarian penjagaan alam juga mengasingkan Kementerian Tenaga, Bisnes dan Industri dengan Kementerian Perubahan Iklim dan Persekitaran. Persoalannya, ke manakah kita hendak bawa dasar alam sekitar dan air negara yang kian hari kian mencengkam ini?

Pada hemat penulis, Malaysia memerlukan kerangka dan paradigma baharu bagi menentukan hala tuju dasar alam sekitar negara. Satu mekanisme di peringkat tertinggi perlu dilaksanakan agar dasar alam sekitar dan air tidak ketinggalan seiring dengan perubahan arus semasa. Instrumen sedia ada menerusi Jawatankuasa Kabinet sepatutnya membolehkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengetengahkan lagi pandangan daripada aspek dasar, perundangan, pelaksanaan dan perancangan masa depan bagi memantapkan lagi pengurusan alam sekitar di Malaysia. Begitu juga melalui Jawatan Kuasa Pemilihan Khas Parlimen dan persidangan Parlimen yang membabitkan ahli politik seluruhnya. Rakyat Malaysia kini mengharapkan satu hala tuju dan solusi kepada permasalahan alam sekitar daripada ahli politik tanah air tercinta! 

MOHAMAD IZZAT TUAN IBRAHIM
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 31/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -