Perlis angkat semula kesenian alu bunyi

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis menyokong penuh usaha untuk mengangkat semula kesenian alu bunyi yang merupakan persembahan kedua tertua di negeri itu selepas Awang Batil.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, untuk peringkat permulaan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan menjemput kumpulan tersebut bagi membuat persembahan pada 7 September depan.

“Kerajaan negeri akan beri sokongan supaya alu bunyi tidak pupus, kumpulan tersebut juga akan memastikan kesenian terbabit ada pelapis untuk mengelak tidak hilang daripada senarai kebudayaan negeri yang kita ada.

“InsyaAllah bahagian BPEN akan menjemput kumpulan tersebut untuk membuat persembahan ketika penilaian geopark pada 7 September depan bagi memperkenalkan seni warisan alu bunyi,” katanya semasa bersama menyaksikan persembahan alu bunyi oleh kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Setia Jaya di Kampung Nesam di sini, semalam.

Sementara itu, menurut Mohd Shukri lagi, pihaknya akan melakukan perbincangan lanjut dengan kumpulan itu bagi mengembangkan persembahan berkenaan melalui penganjuran kursus atau latihan untuk menyediakan pelapis kesenian itu.

“Selain alu bunyi, kumpulan ini masih meneruskan persembahan hadrah dan jika jadi kita akan bincang lanjut untuk kembangkannya bagi memastikan warisan itu tidak hilang ditelan zaman,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pewaris seni persembahan tersebut, Saidin@Mahmud Hashim, 74, berkata, beliau terlibat dengan kesenian alu bunyi sejak tahun 1973 dan kumpulannya juga membuat persembahan di seluruh negara sebelum ini.

Beliau juga turut mewariskan seni persembahan itu kepada tiga anaknya dan ahli kumpulan yang lain bagi memastikan lebih ramai masyarakat mengenali asal usul alu bunyi.

“Alu bunyi dipersembahkan menggunakan peralatan mengemping padi terdiri daripada alu dan lesung malah ia kebiasannya dimainkan secara berkumpulan antara tujuh ke lapan orang,” katanya.

Persembahan itu popular pada zaman dahulu yang dimainkan dalam kalangan pesawah padi khususnya selepas musim menuai.

Ia dimainkan secara berkumpulan antara tujuh ke lapan orang dengan diiringi alatan muzik lain seperti gong, serunai dan gendang bagi menghasilkan irama tradisional yang merdu. – HARAKAHDAILY 27/8/2023

- Advertisement -