Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik ke separuh akhir

Foto daripada Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark.

- Advertisement -

Beregu lelaki utama negara yang berada pada ranking keempat dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras untuk menumpaskan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China untuk mengesahkan kemenangan 21-10, 15-21 dan 21-14, dalam perlawanan 50 minit yang berlangsung di Royal Arena awal pagi Sabtu.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akhirnya berjaya membalas dendam ke atas Yu Chen-Xuan Yi selepas pernah ditewaskan sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada Terbuka Indonesia 2022, Jelajah Dunia 2022 dan Terbuka Malaysia 2023.

Pada aksi separuh akhir petang nanti, Aaron-Wooi Yik akan melakukan perhitungan dengan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, selepas mereka menunjukkan jalan keluar kepada gandingan berpengalaman Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19 dan 21-17.

Pada Jumaat, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah terkandas pada pusingan suku akhir selepas tunduk kepada pasangan China Zhang Shu Xian-Zheng Yu, 17-21, 21-17 dan 21-19.

Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula ditewaskan pemenang pingat perak edisi lepas Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun, 11-21 dan 11-21. – BERNAMA

- Advertisement -