Tunaikan hajat rakyat

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 80)

- Advertisement -

Pegawai hubungan luar Umar bin Abdul Aziz tidak pernah mengabaikan apa-apa surat dari rakyat, melainkan akan dibawanya kepada Umar bin Abdul Aziz.

Pegawai itu keluar dari Mesir. Seorang wanita bekas hamba berkulit hitam menyerahkan kepadanya sepucuk surat mengadu bahawa beliau mempunyai kebun di mana pagarnya rendah, lalu dicerobohi dan dicuri ayamnya.

Umar bin Abdul Aziz menjawab:

بسم الله الرحمن الرحيم من عبد الله عمر أمير المؤمنين إلى فرتونة السوداء مولاة ذي أصبح بلغني كتابك وما ذكرت من قِصرِ حائطك وأنه يُدخلُ عليك منه فيُسرق دجاجك، فقد كتبت لك كتابًا إلى أيوب بن شرحبيل (أمير عمر على مصر) آمرُه أن يبني لك ذلك حتى يُحَصِّنه لك مما تخافين إن شاء الله والسلام

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang. Daripada hamba Allah Umar, ketua orang mukmin kepada bekas hamba perempuan berkulit hitam. Suratmu tiba kepadaku dan apa yang kamu sebut mengenai pagar kebunmu yang rendah, diceroboh dan ayammu yang dicuri. Aku telah menulis surat kepada Ayyub bin Shurahbil (gabenor Umar bin Abdul Aziz di Mesir). Aku telah menyuruhnya membina untukmu pagar itu sehingga ia dapat menjaga kebunmu dari apa yang kamu bimbangkan, insya-Allah. Wassalam”.

Umar menulis kepada Ayyub bin Syurahbil:

فإن فرتونة مولاة ذي أصبح كتبت إليَّ تذكر قصرَ حائطها وأنه يُسرق منه دجاجُها وتسأل تحصينه لها، فإذا جاءك كتابي هذا فاركب أنت بنفسك إليه حتى تُحصِّنه لها

Maksudnya: “Bekas hamba perempuan berkulit hitam menulis surat kepadaku, memberitahu pagar kebunnya yang rendah, dan ayamnya yang dicuri. Dia meminta kebunnya dibaiki. Apabila datang kepadamu suratku ini, kamu sendiri mesti menunggang kenderaan kepadanya dan kamu sendiri yang membaiki untuknya.”

Apabila surat itu diterima oleh Ayyub, beliau sendiri menunggang hingga tiba di Al-Jizah, bertanyakan di mana wanita itu dan bertemu. Tiba-tiba ia seorang wanita berkulit hitam yang miskin. Ayyub memberitahunya tentang surat Amir al-Mukminin, lalu beliau sendiri membaiki pagar kebun itu. (Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms 66-67)

Banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah di atas:

1) Sirah pemerintahan Umar bin Abdul Aziz sarat dengan bentuk-bentuk keadilan kepada rakyat dari pelbagai sudut. Beliau menyambung kehebatan pemerintahan Khulafa ar-Rashidin terdahulu. Ia boleh menjadi panduan kepada para pentadbir dan pemerintah kini.

2) Pegawai hubungan luarnya juga sangat bersifat amanah. Tiada surat yang diabaikan. Tiada aduan yang diketepikan. Tiada rungutan yang ditinggalkan. Sikap seperti ini mesti ditiru oleh pegawai kerajaan, swasta, pentadbir, pemimpin dan sesiapa sahaja sebenarnya. Dalam konteks pentadbiran dan pemerintahan, aduan dan rungutan dari rakyat sangat banyak. Kekadang mereka tidak tahu ke mana ia patut disalurkan. Mujurnya di zaman serba canggih ini, ia lebih mudah. Malangnya, aduan dan rungutan itu sekali-sekala menjadi fitnah pula.

3) Umar bin Abdul Aziz sendiri menjawab isu dihadapi wanita itu. Sekarang, pegawai bertanggungjawab bagi setiap agensi itu sudah ada. Tidak perlulah MB, Exco, ADUN sendiri menjawab semua surat. Mereka hanya perlu memantau agensi berkaitan telah melaksanakan tugas, kecuali jika ia melibatkan dasar, polisi tertentu, atau tidak dapat tidak mesti dijawab, barulah dijawab. Pepatah Arab menyebut: لكل مقام مقال
Bagi setiap tempat itu ada ucapannya yang sesuai.

4) Ayyub bin Syurahbil sendiri mengambil tanggungjawab membaiki pagar wanita tersebut. Seperti yang telah dinyatakan, dalam konteks pentadbiran kini, agensi-agensi kerajaan sangat banyak dengan bidang kuasa masing-masing yang diperuntukkan oleh undang-undang. Yang penting, mesti ada sensitiviti dari semua pihak terhadap aduan rakyat, kehendak mereka dan keperluan mereka.

Terengganu maju, berkat sejahtera,
Disambung untuk sepenggal lagi,
Amanah itu mesti dilaksana,
Keadilan, kebajikan untuk isi negeri.
– HARAKAHDAILY 16/8/2023

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

- Advertisement -