Dr Ahmad Samsuri angkat sumpah MB Terengganu

Foto oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 53, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang itu mengangkat sumpah di Istana Syarqiyyah bagi penggal kedua pada pukul 3.15 petang.

Beliau yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri dilantik semula menerajui pentadbiran Terengganu setelah gabungan parti itu menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) turut mengangkat sumpah pada Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman itu.

Mereka terdiri daripada enam Exco sesi lalu iaitu Adun Paka, Dato’ Satiful Bahari Mamat, Dr Azman Ibrahim (Jabi), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Ariffin Deraman (Alur Limbat), Hanfiah Mat (Chukai) dan Ir Mohd Khuzaini Ab Rahman (Kota Putera).

Empat muka baharu pula ialah Adun Kijal, Datuk Razali Idris, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Hishamuddin Abdul Karim (Tepuh) dan Maliaman Kassim (Ajil). – HARAKAHDAILY 15/8/2023

- Advertisement -