Kehadiran pengundi dewasa sebelah pagi rancak

Ustaz Harun Ismail (tengah)
- Advertisement -

BACHOK: Ketiga-tiga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) yang diwakili PAS di Bachok tiba hampir serentak di pusat pengundian berbeza seawal jam 8 pagi.

Calon DUN Tawang, Ustaz Harun Ismail tiba jam 7.50 pagi di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, kemudian membuang undi di saluran dua sekolah terbabit.

- Advertisement -

Sementara itu, calon DUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin juga tiba jam 7.50 pagi di pusat mengundi SK Sri Kemudi.

Calon PN DUN Jelawat, Zameri Mat Nawang pula tiba di pusat mengundi SK Seneng jam 8.40 bersama isterinya, Rahayu Abdul Ghani, 52.

Beliau merupakan calon baharu menentang calon Barisan Nasional, Yusri Che Noh dan calon Bebas, Zulkarnain Haron.

Lebih dikenali dengan panggilan Loyar Zameri, katanya sambutan pengundi dewasa pada sebelah pagi begitu menggalakkan, terutama pengundi di saluran satu, dua dan tiga.

Zameri Mat Nawang mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seneng.

“Bagi saluran empat dan lima untuk golongan belia dan pengundi awal, agak kurang menggalakkan pada waktu pagi kerana kebanyakan mereka lebih suka datang pada waktu tengah hari atau petang,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya juga, kebanyakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sekolah tersebut mengenalinya.

Agak bersejarah juga kerana sekolah terbabit merupakan tempat beliau menimba ilmu antara tahun 1976 sehingga 1983.

Manakala calon PN DUN Limbongan, Ustazah Nur Asilah Mohamed Zin mengundi pada jam 9 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut dengan ditemani suaminya, Abdul Shakur Sharrie. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -