KUALA KEDAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari berharap agar pengundi keluar mengundi awal untuk mengelak kesesakan terutama menjelang petang.
Beliau berkata demikian susulan mendapati bahawa kebanyakan pusat pengundian masih agak lengang setakat jam 11 pagi tadi.
“Saya harap para pengundi dapat keluar mengundi awal kerana di samping mengelak kesesakan menjelang petang, cuaca pun tidak menentu sekarang ini,” katanya ketika meninjau Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau, di sini.
Terdahulu, Mardhiyyah selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra.
Peguam muda berkenaan antara muka baru yang ditampil PN Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Sejajar dengan arus lonjakan gelombang sokongan rakyat terhadap PN, beliau mendapat perhatian positif dari pengundi sepanjang tempoh berkempen sebelum ini.
Hasratnya bukan sahaja merampas kembali DUN berkenaan dari tangan Pakatan Harapan (PH) tetapi ingin membantu keperluan penduduk yang kebanyakannya tinggal di kampung-kampung.
Dalam PRN Kedah kali ini, Mardhiyyah (PN) berentap dua penjuru dengan calon PH, Dato’ Ismail Salleh (penyandang) di DUN Pengkalan Kundur. – HARAKAHDAILY 12/8/2023