Pengundi Pulau Pinang diajak buat perubahan

Ustaz Mohd Yusni Mat Piah
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah mengajak 1.7 juta penduduk Pulau Pinang melakukan perubahan pentadbiran kerajaan negeri pada hari mengundi esok.

- Advertisement -

Menurutnya, undian rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL akan menentukan hak menaikkan taraf hidup rakyat dan pembangunan sama rata di seluruh Pulau Pinang.

“Kita nampak DUN Penaga bukan hanya diabaikan kerajaan negeri tetapi pengabaian pembangunan turut melibatkan daerah di Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan.

“Kita nampak kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP yang mula diambil alih pada 2008 iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 sampai ke hari ini, 15 tahun lamanya, banyak projek-projek pembangunan difokuskan di sebelah pulau.

“Di sebelah Seberang Perai terutama Seberang Perai Utara ini seolah macam tidak diberi perhatian, dianaktirikan apatah lagi yang menang itu adalah daripada parti pembangkang,” katanya di sini.

Disebabkan ketidakadilan pembangunan oleh kerajaan negeri katanya, Penaga mempunyai lebih 1,400 keluarga miskin.

Katanya, data keluarga miskin yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendedahkan Penaga berada di kedudukan terakhir daripada 40 DUN Pulau Pinang.

Jelasnya, Penaga yang berada di bawah Parlimen Kepala Batas tidak patut diabaikan hak penduduknya selepas DUN dan Parlimen dimenangi Umno-BN pada PRU-PRU lalu dalam satu jangka masa yang cukup panjang.

“Jadi ini juga taktik Umno-BN, di mana ada rakyat miskin di situlah mereka membina kubu mereka. Mereka mengambil kesempatan atas penduduk miskin sebagai tempat mereka mengumpul kekuatan untuk menambah kerusi kemenangan,” ujarnya lagi.

Selain isu kemiskinan katanya lagi, Penaga juga terkenal sebagai hotspot aktiviti penagihan dadah.

Katanya sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat di situ, beliau sering mengadakan aktiviti masyarakat dengan kerjasama agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memerangi masalah penagihan dadah.

“Malangnya isu penagihan dadah di sini sangat membimbangkan kita apabila ia membabitkan penagih dari generasi ke generasi maksudnya seolah ‘mewarisi’ tabiat menagih,” katanya lagi.

Beliau yang tidak perlu lagi diperkenalkan dalam kalangan penduduk Penaga menggunakan pendekatan aktiviti kempen dengan bertemu penduduk, menghadiri kematian ahli keluarga penduduk dan memenuhi undangan ke majlis kenduri penduduk kawasannya.

Aktiviti itu telah menjadi rutinnya sejak dipilih oleh penduduk Penaga sebagai wakil rakyat pada PRU14 lalu malah beliau sentiasa dilihat turun membantu penduduk setiap kali ditimpa musibah seperti kebakaran rumah.

“Saya kenal semua penduduk di sini bahkan mereka juga sudah mengenali saya. Apatah lagi, sewaktu negara dilanda wabak Covid-19, saya dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) telah diamanahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) waktu itu untuk membantu menguruskan jenazah-jenazah mangsa Covid-19 yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga penduduk di sini,” ujarnya.

Menurutnya jika terus diberi mandat penduduk Penaga, beliau ingin meneruskan perjuangannya menaikkan taraf ekonomi penduduk yang telah direncanakan sewaktu PERIKATAN NASIONAL masih memegang tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan.

“Di Penaga ini banyak tempat menarik yang sesuai dijadikan aktiviti pelancongan. Misalnya pada 2022, sewaktu Dato’ Seri Tuan Ibrahim menjawat sebagai Menteri KASA, kita dalam perancangan membangunkan projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dekat Lembangan Sungai Muda di Penaga.

“Projek ini bakal menyumbang kepada sektor pelancongan dan membantu ekonomi penduduk setempat.

“Malah kita juga dalam usaha memulihara aktiviti jeti penambang yang menjadi warisan penduduk di sini,” ulasnya.

Bagaimanapun katanya usaha itu terhenti setelah beralih kerajaan Persekutuan sejak November lalu.

Mohd Yusni akan bertemu lawannya daripada calon BN, Mohd Naim Salleh mewakili Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -