PAS sedia 45,000 borang hadapi gelombang keluar Umno

- Advertisement -

TUMPAT: PAS Kelantan menyediakan kira-kira 45,000 borang permohonan menyertai PAS sebagai persediaan gelombang keluar Umno yang berlaku sejak akhir tahun lalu.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, fenomena Umno masuk PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) sekarang bukan sahaja berlaku di Machang dan Rantau Panjang.

Sebaliknya kata beliau ia menular ke Tumpat, Pengkalan Chepa dan seluruh Kelantan.

“Alhamdulillah kempen PAS Pilihanku yang kita lancarkan akhir tahun lalu sehingga sekarang menjadi kenyataan,” katanya di sini.

Pada 15 Julai lepas seramai 276 ahli dan penyokong Umno menyertai Bersatu diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Machang Iryandi Ismail.

Manakala di Rantau Panjang seramai 450 bekas pemimpin bahagian Umno dan cawangan menyertai PAS. Gelombang sama juga berlaku termasuk di DUN Pulai Chondong dan Dabong.

Wan Roslan berkata, penyertaan ahli Umno untuk bersama PAS sebahagian besar disebabkan kecewa dengan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid yang disifatkan mereka mengendalikan parti itu demi kepentingan peribadi.

“Alhamdulillah di DUN Pengkalan Kubor hampir setiap program ceramah, diadakan majlis penyerahan borang ahli Umno menyertai PAS.

“Begitu juga baru-baru ini seramai 30 ahli dan penyokong Umno menyertai PAS dan PN,” ujarnya.

Menurutnya juga menjelang hari terakhir kempen pilihan raya, lebih ramai lagi pemimpin dan penyokong di peringkat peringkat dijangka menyertai PAS dan PN.

Kata beliau tidak dapat menafikan ada ahli Umno yang masih setia dengan parti itu memberitahu akan memprotes kepimpinan Umno secara senyap di kertas undi. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -