Pengendali haji dan umrah Malaysia, Timur Tengah jalin kerjasama 

Mohd Na'im (tiga dari kanan) dan Harun (dua dari kiri) dalam Majlis Perasmian Sesi 'B to B' The 12th Umrah, Hajj International Tourism Fair di Kuala Lumpur pada hari ini, 7 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/J Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 syarikat pengusaha umrah dan haji dari negara-negara Arab menyertai Pameran Umrah, Haji & Pelancongan Antarabangsa 2023 anjuran bersama antara Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) dan Perfect Event dari Arab Saudi.

Memasuki tahun ke-12 penganjuran, program kali ini bertujuan menghimpunkan syarikat-syarikat pengendali umrah, haji dan pelancongan antarabangsa dari Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Jordan bagi menjalinkan hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat tempatan berhubung dengan pengendalian umrah, haji dan pelancongan.

- Advertisement -

Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu berkata, program tersebut bertujuan membantu syarikat-syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka dan menjalinkan hubungan dengan syarikat antarabangsa tanpa perlu merentas sempadan negara.

“Program ini merupakan program di mana perjumpaan di antara semua pengendali umrah dalam negara kita, seperti pengendali umrah dan pengendali haji, yang mana kita (dapat) berjumpa bersama operator-operator dari Arab Saudi, Jordan dan sebagainya.

“Langkah ini diambil dengan kebaikan tersirat supaya pengusaha-pengusaha industri (umrah dan haji) kita tidak perlu belanja wang yang banyak (untuk) pergi ke Arab Saudi untuk berjumpa dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Sesi ‘B to B’ The 12th Umrah, Hajj International Tourism Fair oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal-Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mukhtar di Hotel Four Seasons, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Duta Jordan, Thamer Adwan; wakil Perfect Events, Anees H. Dahlan;  Timbalan Presiden Bumitra Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin; Setiausaha Agong Kehormat Bumitra Malaysia, Ab Rahman Mohd Ali; dan Bendahari Agung Kehormat Bumitra Malaysia, Khairani Harun Rasit.

Menurut Harun, kesemua pemain-pemain industri dari Saudi (dan negara-negara Timur Tengah yang lain) dikumpul dalam satu majlis seperti pada hari ini, yang menyaksikan pertemuan dengan syarikat-syarikat tempatan.

“Dari situ, mereka masing-masing dan saling mengenal produk-produk dan berurus niaga seperti membuat tempahan hotel di Arab Saudi. 

“(Malah) bukan hanya hotel sahaja yang ada dengan kita hari ini, syarikat pengangkutan pun ada, operator umrah dan syarikat perhotelan juga ada. 

“Jadi, ini adalah satu kemudahan yang persatuan kami sediakan untuk semua pemain industri negara kita,” katanya dalam sidang media selepas program berlangsung.

Sementara itu, Mohd Na’im menyatakan tentang kebaikan yang dapat diperoleh apabila pemain-pemain industri pelancongan dari negara-negara Arab dan Malaysia apabila berkumpul dan menjalinkan kerjasama antara satu sama lain.

“Melalui sesi jaringan interaksi dan jalinan kerjasama antara kita, kita dapat memperoleh idea berharga dan meneroka prospek pelancongan Islam, membawa kepada kebaikan bersama.

“Pasaran pelancongan Islam telah berkembang pesat sehingga mencecah potensi nilai pasaran sebanyak AS$180 bilion, dan dijangka bakal mencecah AS$300 bilion pada 2026,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -