Kanak-kanak adili perlawanan bola sepak dewasa

Callejas mengadili perlawanan pemain dewasa.
- Advertisement -

EL ALTO: Erick Callejas mungkin baru berusia 10 tahun dan saiz tubuhnya jauh lebih rendah berbanding mereka yang lain di padang bola sepak.

Namun, dia bukan calang-calang budak kerana bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan. Dia adalah antara beberapa kanak-kanak yang menjadi pengadil di Bolivia.

- Advertisement -

Di El Alto yang terletak di tanah tinggi, bandar kedua terbesar Bolivia dan berjiran ibu kota, La Paz, Callejas boleh ditemui pada hujung minggu sambil meniup wisel dan memberi arahan kepada pemain bola sepak dewasa ketika perlawanan tempatan yang diilhamkan oleh bapa pengadilnya, Ramiro.

“Pada Sabtu dan Ahad, saya keluar mengadili bersama rakan sekerja kecil saya, anak saya, Erick,” kata Ramiro. “Saya sangat berbangga, saya dipenuhi dengan emosi kerana pengadil mengalir dalam darahnya.”

Callejas mengadili perlawanan pertamanya dalam liga wanita selepas ayahnya mendaftarkannya untuk jawatan itu.

“Ada kejohanan wanita dan (penyelaras) bertanya sama ada saya boleh mengadili dan saya berkata ya.”

Setakat ini, dia kelihatan menarik perhatian orang dewasa dengan gayanya. Pemain, Beimar Tancara berkata, Callejas mempunyai bakat semula jadi.

Callejas yang dilatih bapanya bercita-cita mengadili perlawanan antarabangsa

.”Anda boleh tahu dia mempunyai watak itu. Dia berlari. Dia bergerak. Dia tidak gentar dengan orang walaupun orang ramai menjerit,” kata Tancara.

“Saya rasa dia dilahirkan untuk menjadi pengadil. Dia sangat berbakat. Saya suka pengadilnya.”

Ketika ini, Callejas mengadili perlawanan di padang berpasir dalam liga komuniti, ditonton dengan teliti dari tepi oleh ibunya dan dibimbing oleh bapanya.

Namun dia mempunyai harapan besar untuk suatu hari nanti membawa bakatnya ke peringkat antarabangsa.

“Impian saya adalah untuk mengadili Derbi Bolivia, menjadi pengadil FIFA supaya saya boleh pergi ke Piala Dunia, Piala Amerika, Piala Liberators dan Liga Juara-Juara,” kata Callejas. – REUTERS

- Advertisement -