REE diteroka di Kedah sebelum era kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Warga China yang didakwa terbabit dengan penerokaan unsur nadir bumi (REE), berada di Malaysia sebelum PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambil alih pentadbiran negeri Kedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, individu berkenaan yang juga pemilik syarikat Prospek Suria pernah datang berjumpanya selepas beliau dilantik menjadi Menteri Besar, 17 Mei 2020.

- Advertisement -

Malah, katanya Prospek Suria menjalinkan usaha sama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah untuk penerokaan REE sebelum era kerajaan PN.

“Prospek Suria menjalinkan kerjasama dengan MBI untuk penerokaan REE sebelum saya dilantik Menteri Besar.

“Saya hanya sedar lelaki warga China itu menjadi sebutan seorang menteri selama ini selepas melihat gambar yang didedahkan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada program Sembang Santai di Taman Sri Putra di sini, petang semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Lunas, Azman Nasruddin; calon PN DUN Kubang Rotan, Dato’ Salleh Saidin; Mardhiyyah Johari (Pengkalan Kundur), Rashidi Razak (Anak Bukit) dan Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakrurazi.

Sanusi berkata, tuduhan Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, kononnya beliau membuat surat dan menyokong kemasukan warga China itu ke Malaysia tidak berasas.

Oleh itu, katanya menteri terbabit diminta agar meneliti kembali maklumat yang beliau perolehi. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -