Okinawa bergelap angkara taufan Khanun

- Advertisement -

TOKYO: Angin kencang membadai talian elektrik di Okinawa menyebabkan bekalan elektrik terputus membabitkan lebih 200,000 isi rumah awal pagi ini, ketika taufan Khanun yang kuat bergerak perlahan menghampiri pulau-pulau di barat daya Jepun.

Ratusan ribu penduduk di wilayah tropika, destinasi pelancongan popular kira-kira 1,600 kilometer barat daya ibu kota Jepun, Tokyo, dinasihatkan untuk berpindah.

- Advertisement -

Mengikut laman web pihak berkuasa elektrik Okinawa, 218,260 isi rumah atau 34 peratus daripada rumah mengalami gangguan bekalan elektrik setakat jam 9 pagi waktu Jepun.

Di ibu kota Okinawa, Naha, lapangan terbang ditutup sepenuhnya untuk hari kedua hari ini. Lebih 400 penerbangan dibatalkan dengan sekurang-kurangnya 65,000 penumpang terjejas.

Ribut melanda semasa musim kemuncak pelancong musim panas, yang tahun ini menyaksikan jumlah pelawat kembali ke tahap prapandemik. Okinawa sering dilanda taufan, tetapi biasanya berlaku pada akhir tahun. – REUTERS

- Advertisement -