Mengundi: Bas percuma untuk suburkan demokrasi

Foto hiasan. (Foto daripada Facebook MR.BUS YEOB DM)
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perkhidmatan pengangkutan bas tidak dapat menampung keperluan pengundi untuk balik mengundi serentak.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, begitu juga perkhidmatan udara yang hanya beberapa kali sahaja laluan dalam sehari di negeri ini.

Justeru itu, kata beliau, pihaknya bercadang untuk menyediakan bas bagi kemudahan rakyat untuk pulang mengundi, bagaimanapun hasrat tersebut perlu ‘dikuburkan’.

“Kita bercadang untuk menyediakan kemudahan insya-Allah tapi dengan syarat-syarat SPRM yang kata tak boleh, jadi kita sedang cari cara bagaimana untuk kita bantu.

“Kita ada cadangan macam Kelantan juga untuk menyediakan bas untuk mereka yang tiada pengangkutan.

“Bayangkan pada hari tu semua orang nak balik, bas ekspres ini tidak cukup dan tidak ada bas tambahan, dia nak naik apa, takkan dari Kuala Lumpur nak jalan kaki,” katanya ketika di sini, petang semalam.

Beliau dalam masa sama, mengusulkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak menyediakan bas bagi mempraktikkan amalan demokrasi seperti yang diiklankan.

“Sepatutnya SPR sedia (pengangkutan) sebab dia nak orang mengundi, yang dia kata ‘marilah mari kita mengundi’,” katanya sambil menyanyikan lagu kempen keluar mengundi.

Tambah beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri, bukan semua rakyat mampu untuk pulang menaiki kenderaan sendiri.

“Bukan semua orang ada kereta, orang ada heli (helikopter) tak apa, boleh guna heli..,” katanya berseloroh.

Media sebelum ini melaporkan, pemberian wang kononnya sebagai sedekah, bayar tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya adalah menyalahi undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pengundi perlu mengetahui hak dan mempunyai tanggungjawab untuk balik mengundi tanpa mengharap ada pihaknya yang membayar tiket pulang mereka. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -