Indonesia beli dron Turkiye bernilai AS$300 juta

Dron 7 Bayraktar Akinci buatan Turkiye
- Advertisement -

JAKARTA: Indonesia membeli 12 dron baharu daripada Turkish Aerospace bernilai AS$300 juta, siri pembelian yang bertujuan memodenkan peralatan ketenteraan negara itu yang semakin usang.

Perjanjian itu dibuat selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Julai lalu memberi amaran kepada kabinetnya untuk mengekalkan bajet “sihat” sambil menekankan perbelanjaan berlebihan oleh agensi keselamatan negara itu, termasuk kementerian pertahanan.

- Advertisement -

Pada Januari lalu, Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, menandatangani perjanjian bernilai AS$800 juta untuk membeli 12 jet pejuang Mirage 2000-5, yang mendapat kritikan kerana ia dianggap terlalu ketinggalan.

Indonesia pada Februari lalu juga membeli 42 jet pejuang Rafale dengan harga AS$8.1 bilion, yang akan dihantar secara berperingkat selama beberapa tahun.

Mengikut data kerajaan, pada 134.3 trilion Rupiah (AS$8.89 bilion), Kementerian Pertahanan mempunyai peruntukan terbesar daripada jumlah bajet negara tahun ini.

Perjanjian dengan Turkish Aerospace yang berpangkalan di Ankara telah dimuktamadkan pada Februari lalu dan dijangka dihantar dalam tempoh 32 bulan selepas ditandatangani. Kementerian Pertahanan Indonesia menyatakan bahawa pakej termasuk latihan dan simulator penerbangan. – REUTERS

- Advertisement -