KUBANG PASU: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah (Prof Haim) yang prihatin akan nasib pemandu e-hailing dan penghantar makanan (food rider) telah turun sendiri dalam menyantuni mereka.
Pertemuan selama lebih satu jam pada tengah hari di Tapak Pasar Malam Taman Sri Aman, di sini, hari ini adalah bagi mendengar luahan, peranan dan pandangan mereka sebagai pemandu e-hailing dan penghantar makanan.
Pengerusi Rakan Penghantar Kedah, Muzakkir Ahmad Mokhtar, 29, berkata, pihaknya mengemukakan lapan cadangan bagi menambahbaik khususnya berkaitan prasarana kepada mereka.
“Saya sebagai wakil penghantar makanan (dan pemandu e-hailing) atau food rider menyerahkan cadangan dan memorandum seperti meminta pihak berwajib menambah baik tapak rehat di Tapak Pasar Malam Taman Sri Aman, Jitra.
“Permasalahan laluan hantar makanan di Taman Gemilang agak sukar apabila pihak pengurusan taman perumahan tersebut tidak membenarkan kami menggunakan laluan belakang taman; menyebabkan kami harus guna laluan utama tetapi pembayaran untuk food rider pula tidak tepat kerana sistem mengikuti laluan khas dari peta google,” katanya.
Di samping itu, Muzakkir juga meminta agar pihak berwajib sering mengadakan program kemasyarakatan bersama-sama food rider dan masyarakat.
“Jadikan food rider sebagai pelapis atau ikon iaitu orang terawal yang hadir dalam membantu masyarakat setempat.
“Jadikan food rider juga sebagai perantara antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Pusat Khidmat Wakil Rakyat dengan masyarakat, kerana food rider sentiasa berada di atas jalan.
“Selain itu, jadikan Kubang Pasu sebagai model kepada kawasan-kawasan lain serta menjadikan Jitra sebagai bandar ilmu agar dapat menambah baik kehidupan masyarakat setempat,” katanya.
Sehubungan itu, Prof Haim mengambil maklum berkaitan perkara itu dan akan menyuarakan pendapat mereka sekiranya terpilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 31/7/2023