Pembekuan akaun Bersatu, tindakan buruk kerajaan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pembekuan akaun bank milik parti Bersatu yang dilakukan oleh kerajaan adalah suatu tindakan buruk, kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.

Menurutnya, tindakan itu yang begitu lama seolah-olah kerajaan menggunakan kuasa tanpa mengambil kira perasaan pihak lain.

- Advertisement -

Katanya, tindakan itu juga menyebabkan Bersatu menghadapi kekangan kewangan yang besar sedangkan sepatutnya selepas siasatan selesai, parti itu perlu diberi peluang untuk menguruskan semula akaun bank.

“Dalam keadaan begini, memang kita dalam keadaan bajet yang sempit dan PAS antara parti yang tak banyak duit, tapi kita ada sokongan.

“Kita percaya bukan duit yang penting, mana yang kita ada (duit) kita akan gerakkan, jadi calon-calon menggunakan dana sendiri,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PN Selangor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Roslan berharap rakyat Selangor mengetahui bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang berjuang dan bertanding menggunakan wang sendiri untuk melawan parti yang mempunyai segala kelebihan.

Beliau mengakui bahawa keadaan itu adalah suatu kekurangan kepada PN, terutama Bersatu tetapi paling penting adalah untuk memenangi kepercayaan rakyat.

“Kami akan buat apa sahaja yang mampu untuk memastikan PN sampai ke saat akhir untuk mengemukakan cabaran yang terbaik dalam pilihan raya, Insya-Allah,” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa enam Ahli Parlimen PN yang telah berkhidmat selama lapan bulan tidak pernah mendapat sebarang peruntukan dari kerajaan Pusat.

“Dari situ sahaja nampak ketidakadilan kerajaan Pusat, apatah lagi kerajaan negeri tetapi kita hadapi kerana rakyat akan memberi keadilan melalui peti undi kali ini.

“Tak pernah berlaku di Malaysia, layanan sebegini rupa diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat tetapi tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan Pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2023

- Advertisement -