PN Kelantan ketengah 50 peratus calon baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih 50 peratus calon baharu PERIKATAN NASIONAL (PN) akan mempertahankan kerajaan negeri yang diterajui PAS sejak 33 tahun lalu.

Mereka terdiri daripada golongan profesional, bekas pegawai kanan kerajaan negeri dan Pusat, pendidik, korporat, ahli perniagaan, aktivis parti dan ulama.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, selain itu tujuh calon terdiri daripada lulusan undang-undang, termasuk seorang muka lama yang dicalonkan semula iaitu anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Katanya, calon yang diketengahkan kali ini diharap mampu menawan hati pengundi berikutan mereka mempunyai pengalaman dan kebolehan yang tersendiri.

Bagaimanapun, kata beliau calon lama yang tidak dicalonkan semula memberi kerjasama baik untuk memberi peluang kepada calon baharu pula.

“Alhamdulillah tidak ada perkara yang berbangkit dan kita dapat selesaikannya dengan baik,” ujarnya ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, hari ini.

Terdahulu diadakan sesi pertemuan dengan semua calon yang bakal bertanding di Kelantan.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan pimpinan PAS dan PN negeri. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -