Tun Mahathir buat kejutan di stadium malam ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed tiba di Kota Bharu petang ini bagi menghadiri program Munajat Rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV.

- Advertisement -

Sebaik sahaja tiba di Kota Bharu Tun menziarahi keluarga bekas Menteri Besar Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka tidak jauh dari bandar Kota Bharu. (Foto atas)

Ketibaannya disambut anak Allahyarham Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz. Turut kelihatan veteran PAS Abdul Razak Abas.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato Mohd Amar Abdullah berkata, kehadiran Tun dan Tan Sri Annuar Musa pada malam ini dijangka meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL di negeri itu.

Katanya kedua-dua pemimpin terbabit mempunyai auranya yang tersendiri serta pengikut yang ramai.

“Walaupun Tun Dr Mahathir bukan lagi seorang Perdana Menteri dan Annuar bukan seorang menteri namun pengikut mereka ramai,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan Cakna Suri DUN Panchor hari ini.

Pada program itu seramai 200 penduduk menerima bantuan berkenaan yang disalurkan kerajaan negeri kepada setiap suri rumah yang tidak bekerja daripada keluarga berpendapatan rendah.

Turut hadir pada program berkenaan isteri Mohd Amar, Datin Hasmani Husain dan Pengarah program Wan Rosmah Wan Ibrahim.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Tun Dr Mahathir sendiri yang memohon untuk hadir pada program besar malam ini.

“Tentu Tun ada sesuatu yang ingin disampaikan pada rakyat Kelantan, jadi saya rasa eloklah semua rakyat pelbagai peringkat usia dari pelbagai parti politik hadir pada program malam ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -