Anak arwah TG Nik Aziz terharu dikunjungi Tun M

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan hadiah kepada keluarga mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

- Advertisement -

Bekas ahli parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abul Aziz berkata, hubungan antara kedua-dua tokoh tersebut tetap terjalin utuh sepanjang hayat Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Katanya, kedatangan Tun ke Kelantan sempena Munajat Rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini akan memperkukuhkan lagi sokongan orang Islam dan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) dan PAS.

“Dan kehadiran Tun dapat menyatukan hati kita semua. Hati kita jadi ada kesatuan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan Melayu di Malaysia hari ini.

“Walaupun apa pun, saya rasa bertuah dan berterima kasih dengan kehadiran Tun ke rumah almarhum ayahanda. Ini ada satu hadiah kepada saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas menerima kedatangan Tun Dr Mahathir di kediaman Tuan Guru Pulau Melaka di sini petang ini.

Menurutnya kedatangan Tun ke Kelantan bagi menyatakan sokongan kepada PAS dan PN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Tun bakal berada sepentas bersama pimpinan tertinggi PN termasuk Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.

Oleh itu Nik Muhammad Abduh berharap rakyat Kelantan sepakat mempertahankan kerajaan negeri di bawah PAS pada PRN pada 12 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -