Penghayatan hijrah perlu bermula di pejabat kerajaan

- Advertisement -

KANGAR: Agensi-agensi agama di Perlis hendaklah menjadi teraju bagi menggiatkan lagi usaha pembangunan kerohanian masyarakat di negeri itu.

- Advertisement -

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha itu boleh dilakukan dengan pengisian ilmu, pengimarahan masjid dan aktiviti umpamanya.

“Tanggungjawab penduduk pula mengambil bahagian dan menyertai program ilmu dan jangan ditinggalkan sepi.

“Inilah kunci keadilan dan penyatuan selain sumber keharmonian dan kesejahteraan hidup,” titah semasa merasmikan Majlis Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Sri Pulai, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Baginda juga berharap rakyat Perlis menjunjung dan berpegang teguh terhadap undang-undang tubuh negeri Perlis.

Sementara itu sempena majlis berkenaan, baginda menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tan Sri Ariffin Mohd Yusuf.

Penerima anugerah lain termasuk Pengerusi Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs, Azlan Hussain (anugerah Maaj Hjirah) dan Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr Hazman Hassan serta Ketua Polis negeri Dato’ Surina Saad yang menerima anugerah Jaaizah Maal Hijrah.

Dalam pada itu, baginda juga bertitah, penghayatan peristiwa hijrah dalam sirah perlu diterapkan kepada ummah.

“Ia perlu bermula dengan pejabat-pejabat kerajaan, masjid, surau, institusi pengajian tinggi, sekolah dan lain-lain medium supaya ‘tarbiyah’ atau asuhan penghijrahan minda, adab dan budaya warga negeri ini akan terus terlaksana secara sekata dan bersepadu.

“Rebutlah peluang menanamkan semangat hijrah dalam diri. Berlumba-lumba berbuat kebajikan, jauhi sikap suka merosakkan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -