Semua parti politik perlu patuhi lunas demokrasi

- Advertisement -

TUMPAT: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sekarang hendaklah diadakan secara adil dan sihat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, semua parti politik yang bertanding hendaklah memastikan lunas-lunas demokrasi dipertahankan.

Katanya, amalan khianat termasuk merosakkan poster parti lawan tidak wajar dibiarkan berlaku kerana ia juga melanggar prinsip demokrasi.

“Sikap seumpama itu dibimbangi boleh mencetus suasana tidak harmoni,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Smart Nego Centra (SNC) Dun Wakaf Bharu hari ini.

Hadir sama bekas Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah dan pemimpin masyarakat tempatan.

Beliau diminta mengulas kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti di beberapa tempat di Kelantan.

Sebelum itu Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun pada kenyataan media berkata kejadian tersebut berlaku di Tumpat dan Kuala Krai.

Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, persiapan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi menghadapi PRN sudah melepasi 95 peratus.

“Persiapan semua jentera parti di peringkat Dun dan Unit Daerah Mengundi (UDM) di seluruh Kelantan berjalan lancar,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -