KOTA BHARU: Ketika kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan PERIKATAN NASIONAL (PN) sebanyak RM400 juta hasil petroleum dibayar kepada Kelantan.
Namun, selepas lapan bulan di bawah Kerajaan Madani hasil petroleum yang diberi kepada Kelantan hanya RM40 juta.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, RM40 juta merupakan kali pertama dibayar selepas lapan bulan kerajaan Pusat diterajui Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Katanya Kerajaan Madani sehingga sekarang hanya memberi RM40 juta, sepatutnya kalau dikira tempoh masa sudah memasuki pembayaran kali kedua.
“Tetapi sekarang baru dibayar kali pertama, bayaran itu dalam bentuk wang ehsan.
“Wang ehsan sebenarnya tiada dalam perjanjian kerana ia berbeza dengan royalti,” katanya ketika mendedahkan perkara itu pada Himpunan Perdana Peserta Ladang di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini semalam.
Seramai 4,700 peserta Ladang Rakyat hadir pada perhimpunan tersebut.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah; Exco Kerajaan Negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan Ahli Lembaga Perbadanan Ladang Rakyat Dato’ Hassan Mohamood.
Menteri Besar juga berkata, sebarang perolehan dan peruntukan kerajaan Pusat yang disalurkan termasuk wang ehsan disimpan dalam Kumpulan Wang Disatukan di Perbendaharaan Negeri.
Kata beliau juga Kelantan dikenal pasti mempunyai potensi Unsur Nadi Bumi (REE) di Tanah Merah, Gua Musang dan Jeli dengan nilaian RM125 bilion.
Menurutnya kekayaan hasil bumi itu menjadi antara sebab PH dan Umno bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang ditadbir PAS sekarang.
“Wang ini (wang ehsan) dimasuk dalam akaun wang yang disatukan, apa-apa walaupun 10 sen sekalipun pendapatan kerajaan dimasukkan dalam akaun itu, kalau nak guna kena lulus dalam sidang Dun.
“Jadi Kelantan perlu dipertahankan kerana kita mempunyai sumber asli mineral yang sangat berharga, mereka nak sangat negeri ini kerana bahan itu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 20/7/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!