Tiga ditemukan maut dalam kereta

- Advertisement -

BATU PAHAT: Tiga individu ditemukan maut di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza di Hentian Sebelah Yong Peng arah selatan di sini malam tadi.

- Advertisement -

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Pegawai Bomba Kanan II KUP Suhairulair Sarip berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.59 malam.

Beliau berkata sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati dua lelaki dan seorang wanita yang pada mulanya dikatakan terperangkap di dalam kereta berkenaan, telahpun dikeluarkan oleh orang ramai dengan memecahkan tingkat kereta.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau memberitahu bahawa ketiga-tiga individu yang berumur 23 hingga 27 tahun itu didapati telah meninggal dunia, dan pihak bomba kemudiannya menyerahkan ketiga-tiga mayat kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata ketiga-tiga individu berkenaan dipercayai warga Myanmar, bagaimanapun siasatan masih dijalankan. – BERNAMA

- Advertisement -