Tangani isu kenaikan harga barang secara komprehensif

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada beberapa laporan akhbar baru-baru ini yang menyatakan bahawa barangan keperluan asas seperti beras, telur, ayam, ikan dan sayuran-sayuran merupakan antara yang diramal bakal terkena tempias kenaikan harga bermula Ogos ini. Namun, ia diikuti pula dengan penegasan dari Kerajaan Persekutuan bahawa barangan asas terutamanya yang bersubsidi tidak mengalami kenaikan harga, sekali gus menafikan dakwaan harga barangan berkenaan dijangka naik mendadak pada Ogos atau September ini.

Saya berpendapat bahawa laporan berita-berita seperti ini berpotensi akan menimbulkan suasana panik dan gelisah dalam kalangan rakyat yang berhempas-pulas meneruskan kehidupan mereka di waktu ekonomi negara masih belum stabil sepenuhnya. Saya menyarankan Kerajaan Persekutuan benar-benar cakna dan menjalankan tugas dalam memastikan harga barangan asas benar-benar tidak naik seperti dilaporkan. 

Di peringkat Kerajaan Persekutuan, saya mendapat tahu bahawa jentera penguatkuasaan dalam memantau harga barang sudah lama wujud di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Namun, saya khuatir perjawatan dan bilangan kakitangan penguatkuasaan KPDN ini belum mencukupi bagi menampung beban tugas pemantauan di seluruh negara. Saya melahirkan harapan agar KPDN terus menambah bilangan penguatkuasa dan memberi fokus yang mendalam dalam memastikan setiap premis perniagaan tidak menaikkan harga barang sesuka hati. 

Saya juga ingin menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mempergiatkan usaha mengurangkan peranan ‘orang tengah’ atau peraih bagi memastikan harga hasil pertanian tidak naik dengan sewenang-wenangnya. Sebagimana sedia diketahui umum bahawa pengaruh orang tengah dalam rantaian pemasaran sektor agromakanan turut menjadi punca kos pengeluaran bagi petani dan penternak semakin meningkat. Oleh itu, usaha mengekang pengaruh orang tengah ini perlu diteruskan bagi memastikan pengguna iaitu rakyat kebanyakan tidak menjadi mangsa kepada kenaikan harga barang secara melampau.

Dengan pendedahan oleh media baru-baru ini bahawa ramai dalam kalangan rakyat yang mempunyai jumlah simpanan persaraan yang sedikit, ia menzahirkan betapa signifikannya peranan Kerajaan Persekutuan dalam meringankan kerisauan yang dialami rakyat dengan memastikan harga barang keperluan sentiasa stabil. Saya percaya negara kita akan mengalami pembangunan produktiviti secara stabil jika isu-isu asas seperti ini dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan secara komprehensif.

“Malaysia Sejahtera”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -