Tak baik dengki, istana Mad Said hasil titik peluh beliau

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH terbukti DS Ahmad Said tidak menyeleweng duit rakyat atau kerajaan dengan pengakuan beliau yang rumah agam seperti saiz istana yang beliau miliki dan juga duduki sekarang di Kijal itu adalah hasil dari titik peluh beliau menjadi Exco dan Menteri Besar selama puluhan tahun dulu.

Untuk rekod, DS Ahmad Said mula menyertai Kerajaan BN di bawah pemerintahan allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Amar DiRaja Wan Mokhtar Ahmad, setelah menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kijal pada tahun 1990, selepas berlaku kematian penyandang DUN Kijal. DS berjaya menewaskan lawannya dari parti Semangat 46 (S46) Ahmad Sabery Cheek.

Tahun 1995, beliau pertama kalinya dipilih menjadi Exco dalam Kerajaan Terengganu. Kalah pada tahun 1999 kepada Mehamad Sulong calon PAS, tetapi bangkit semula dan mengisi sekali lagi jawatan Exco dalam pentadbiran Dato’ Seri Idris Jusoh tahun 2004. Hampir dibuang dari senarai calon dalam PRU12 tahun 2008, namun, pantang maut sebelum ajal, akhirnya Idris yang tertendang keluar daripada menjadi Menteri Besar dan beliau sebaliknya mengambil tempat Idris menjadi Menteri Besar selepas diperkenankan Tuanku.

Selama enam tahun atau hampir sepenggal setengah beliau berusaha bersungguh-sungguh menjadi seorang Menteri Besar yang baik. Antaranya dengan memperkenalkan projek ubi gadong yang berupaya membesarkan payudara, projek penyelidikan di Antartika, projek Kenyir yang tidak siap sehingga menelan belanja ratusan juta Ringgit, bas dua alam yang segan untuk berenang, tapi tak malu habiskan duit rakyat. 

Juga yang diingati lagi sewaktu beliau yang mengaku mengumpul wang gajian dan elaunnya bagi membina rumah dengan memegang jawatan Menteri Besar dan Exco ialah LPT2 yang menghadapi masalah tanah mendap, tidak siap lewat hampir lapan tahun dari jadual asal, kos menjadi berganda dan menggunakan duit royalti Terengganu, bukan duit Kerajaan Pusat. Duit royalti itu juga digunakan oleh Syarikat Perumahan NASIONAL Berhad (SPNB) bagi membina rumah dan bertahun-tahun lamanya duit royalti yang diguna orang itu, rakyat Terengganu ramai yang tidak tahu, ia tidak dibayar atau dibayar hanya sebahagian. Stadium runtuh yang tidak dibaiki dan sana sini binaan runtuh di Terengganu. 

Telaga minyak Bertam juga jatuh ke tangan Pahang, gagal diambil oleh pentadbiran beliau walaupun dari parti yang sama. Bangunan-bangunan di Taman Tamadun Islam tidak diselenggara dengan baik termasuk masjid yang selalu bocor, yang kos pembinaannya sebanyak RM200 juta. The Riyaz Heritage kerugian saban tahun, Monsoon Cup yang menelan belanja RM300 juta setahun, turut berada dalam senarai pentadbiran beliau yang mengangkat kening semua orang.

Jadi berlaku adillah wahai rakyat Terengganu. Setelah berpenat lelah atau kata beliau hasil titik peluh beliau selama menjadi Exco dan Menteri Besar itu, maka wajarlah beliau berjaya menyimpan sejumlah wang yang munasabah bagi membina mahligai bahagia beliau itu. Apatah lagi beliau secara jelas mengaku mengambil barang dari Siam kerana murah untuk membinanya. Nasib beliau baik kerana tidak menjadi Menteri Besar dan Exco di zaman Perdana Menteri ke-10 (PMX) kerana mungkin beliau tidak akan mengambil gaji langsung kerana menurut teladan PMX. 

Adalah tidak munasabah bagi penyokong PN terus menerus memainkan isu yang langsung tidak masuk akal ini. Mustahil bagi DS Ahmad Said melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab sebegitu. Beliau juga ada menjual cili fertigasi, tender, kacang panjang, bendi yang ditanam di halaman rumah beliau yang luas itu, bagi menampung kehidupan beliau semasa PKP dahulu. Beliau terpaksa bersusah payah menabung kerana beliau bukan seorang ‘diver’ yang bergaji puluhan ribu sebulan, boleh bina rumah RM7 juta. 

Bukti lain yang beliau tidak mengambil hak kerajaan ialah, walaupun bangunan Strawberry Park (dua gambar akhir) berada dekat dengan rumah beliau, namun tidak pernah beliau mengambil bangunan itu dan dijadikan rumah kediaman beliau walau beliau boleh melakukannya. Beliau lebih suka ia dihuni oleh jin miskin. Tapi jin yang mahu tinggal di situ, mestilah kad pengenalannya 11. Jin lain tak boleh. Jin pun rakyat Terengganu juga.

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 17/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -