Sultan Johor akan jalani pembedahan di bahu kanan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menjalani pembedahan di bahu kanan akibat kecederaan lama di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) di Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

- Advertisement -

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli menerusi kenyataan hari ini berkata justeru, baginda mengharapkan agar rakyat tidak berasa bimbang dan mendoakan rakyatnya dikurniakan rahmat dan perlindungan Allah.

Beliau berkata baginda bertitah akan tetap berangkat ke acara Kembara Mahkota Johor (KMJ) dan lain-lain acara yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku bertitah, selepas menjalani pembedahan di bahu kanan, baginda kemungkinan akan dinasihatkan oleh doktor pakar untuk memakai selempang (sling) bahu buat seketika.

“Bagaimanapun, DYMM Tuanku bertitah, ini tidak menghalang baginda untuk menjalankan tanggungjawab berangkat dan bertemu rakyat di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata Jumaah Majlis Diraja menyeru seluruh rakyat mendoakan semoga baginda menjalani pembedahan serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan selamat serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan.

KMJ 2023 dijangka berlangsung pada 5 hingga 8 Ogos ini, selepas kali terakhir ia diadakan pada 2019. – BERNAMA

- Advertisement -