Wujudkah bujang makan RM8 sehari?

- Advertisement -

MENTERI kata,

Inflasi tinggi, naikkan OPR.
Ringgit jatuh, naikkan OPR.

Itu kerja BNM.

Inflasi tinggi, harga barang naik.
Ringgit jatuh pun harga barang naik.

Kesannya kos sara hidup naik, rakyat terkesan. Rakyat yang bukan pakar ekonomi pun boleh rasa apabila Ringgit mula jatuh, harga barang mesti naik.

Jadi, adakah Menteri nak kata ini kerja BNM juga? Apa yang berlaku tahun ini?

Separuh pertama tahun 2023, Ringgit telah menjatuh hampir 6 peratus. Mendahului mata wang Asia yang lain.

Semalam 12 Julai, Ringgit terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura.

Itu belum lagi cerita soal pasaran saham, pegangan ekuiti yang rakyat susah nak faham. Kerana hakikat situasinya lebih membimbangkan. Ini diakui pakar-pakar ekonomi.

Yang buat rakyat marah, apabila kerajaan menafikan, berdolak-dalih dan rakyat rasa tidak dibantu.

Tengoklah poster daripada JKOM “Benarkah belanja dapur meningkat daripada RM200 ke RM500?”

Sangat tidak masuk akal. Ramai yang marah dan kecewa. Betapa jauh dari realiti yang berlaku. Sekali lagi, kerajaan seolah-olah menafikan kesan yang benar-benar dirasai rakyat hari ini.

Bulan lepas KWSP melancarkan aplikasi Belanjawanku. Dalam garis panduan itu, seorang bujang yang menggunakan pengangkutan awam memerlukan RM1,930 untuk tinggal di Lembah Klang. Kalau berkereta sendiri, RM2,600. 

Kos makanan sahaja RM600. Itu anggarannya. Kalau yang dah berkahwin, ada anak? Jauh panggang dari api apa yang JKOM cuba buktikan.

Dulu waktu pandemik COVID-19 tengah teruk, rakyat melalui juga keadaan gawat ini. Namun, kerajaan ketika itu cakna keresahan rakyat dengan menyalurkan banyak insentif.

Itulah peranan kerajaan untuk campur tangan kepada kesan-kesan yang berlaku khususnya kepada hidup rakyat.

Perdana Menteri waktu itu buat sidang media untuk umum bantuan, bukan buat sidang media untuk buat kelas ekonomi. 

Apatah lagi menakutkan rakyat dengan amaran kepada media atau sesiapa sahaja yang membawa naratif kos sara hidup. 

Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berpandangan,

“Sewajarnya kita perlu memberi perhatian ke atas asas ekonomi negara dan tidak hanya menumpu kepada perubahan di Amerika Syarikat dan ekonomi global sebagai penyebab kepada penyusutan Ringgit. 

“Jawapan kepada penyusutan Ringgit berkemungkinan besar berada di Putrajaya dari Bank Negara.”

Menteri Ekonomi berkata,

“Walaupun OPR memberi kesan kepada kos bulanan sara hidup rakyat, kedudukan Ringgit yang stabil sedikit sebanyak secara tidak langsung mengawal kenaikan harga barang kerana mata wang yang kukuh akan membantu import menjadi lebih yang seterusnya akan mengekang kenaikan inflasi.”

Hari ini, OPR dah naik, kos sara hidup dah naik, ringgit tetap juga rendah. Mungkinkah formula baru lagi wahai Menteri?

NIK NOR NADHIRAH NIK ISMAIL
Timbalan Exco AFC Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY 14/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -