PN bukti mampu urus negara ketika wabak menular

- Advertisement -

KOTA BHARU: Negeri-negeri yang ditadbir PAS dilihat mempunyai keseragaman apabila menjadikan Islam sebagai teras pentadbiran.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, pertimbangan agama menjadi panduan bagi membuat sesuatu keputusan dan dilakukan secara konsisten sejak dahulu sehingga sekarang.

Katanya keseragaman itu begitu penting bagi memperlihatkan sebuah kepemimpinan yang mempunyai satu wadah dan prinsip yang jelas.

“Situasi itu dapat dilihat di negeri-negeri yang ditadbir PAS bersama PERIKATAN NASIONAL (PN) iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis.

“Di Kelantan ia lebih terserlah kerana sudah lama ditadbir PAS,” katanya pada bicara isu semasa secara langsung yang disiarkan Facebook Legasi Tok Guru malam tadi.

Oleh itu kata beliau berdasar pengalaman itu PAS tidak menghadapi masalah untuk menerajui pentadbiran negara.

Malah Zulkifli berkata, PAS bersama dengan parti komponen di bawah PN sudah membuktikan kepada rakyat kemampuan mentadbir negara sebelum ini.

“Kerajaan PN ketika itu berdepan dengan cabaran begitu hebat ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, namun masih mampu memastikan kebajikan rakyat terbela,” katanya.

Menurutnya PN bukan sekadar berupaya mentadbir di peringkat negeri kerana ada pengalaman menerajui kerajaan Persekutuan.

Ketika menerajui negara kerajaan PN memperkenalkan pelbagai pakej bagi membantu rakyat berdepan dengan pandemik termasuk Pakej Prihatin yang bernilai RM250 bilion. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -